RM7, RM14 kadar zakat fitrah di Kedah

Zakaria (dua kiri) menunjukkan kadar zakat di Kedah sambil disaksikan Norizan (tengah) dan Fadzil (dua kanan) di Wisma Zakat Kedah, di sini, pada Selasa.
Zakaria (dua kiri) menunjukkan kadar zakat di Kedah sambil disaksikan Norizan (tengah) dan Fadzil (dua kanan) di Wisma Zakat Kedah, di sini, pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua kadar zakat fitrah ditetapkan di Kedah bagi tahun 2025 iaitu RM7 dan RM14 berbanding tiga kategori harga pada tahun sebelumnya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang juga Pengerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Seri Norizan Khazali berkata, LZNK melalui perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menetapkan kadar zakat fitrah pada dua kadar harga sahaja.

Beliau berkata, kadar RM7 ditetapkan bagi umat Islam yang menjadikan beras tempatan sebagai makanan harian, manakala kadar RM14 dikenakan kepada mereka yang menggunakan beras import seperti Basmathi dan seumpamanya.

"Jadi, semua umat Islam digalakkan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut jenis beras yang menjadi kebiasaan makanan harian.

"Bagaimanapun, sekiranya seseorang makan beras tempatan tetapi mampu membayar lebih, iaitu pada kadar RM14 atau lebih, maka digalakkan untuk membayar zakat fitrah pada kadar yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada Majlis Pretasi Kutipan dan Agihan LZNK pada 2024 dan Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Kedah pada 2025 di Wisma Zakat Kedah, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Mufti Kedah Datuk Fadzil Awang.

Sebelum ini, kadar zakat fitrah Kedah pada 2024 ditetapkan dalam tiga kategori harga iaitu RM7, RM14, dan RM21, mengikut jenis beras dimakan.

Jelas Norizan, kadar zakat fitrah RM21 tidak dilaksanakan pada tahun ini memandangkan rakyat Kedah hanya makan dua jenis beras iaitu tempatan dan import.

Artikel Berkaitan:

"Kita lihat penduduk ataupun rakyat negeri Kedah ini menggunakan dua kategori beras ini sahaja, apa yang rakyat guna, itulah kita kenakan zakat," katanya.

Beliau memaklumkan, LZNK turut menetapkan sasaran kutipan zakat fitrah pada tahun ini adalah sebanyak RM14.5 juta iaitu lebih tinggi berbanding tahun lalu yang berjumlah RM13.1 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman, LZNK memperkenalkan 22 saluran bayaran secara dalam talian untuk menunaikan zakat fitrah.

Beliau menambah, terdapat tiga portal dan aplikasi rasmi LZNK iaitu portal Jom Zakat, aplikasi Zakat On Touch dan MyAmil, diikuti 13 platform perbankan internet, tiga aplikasi e-wallet dan tiga portal pembayaran untuk tujuan pembayaran zakat itu.

Kongsi Zakaria lagi, seramai 2,753 amil bertauliah dan 172 agensi kutipan telah dilantik LZNK bagi memastikan proses pembayaran zakat dapat dilakukan dengan mudah oleh masyarakat.

Dalam perkembangan lain, menurutnya, LZNK turut mengumumkan peningkatan kadar nisab zakat bermula 1 Januari 2025 berjumlah RM32,010.16 bersamaan 85 gram (g) emas bergantung kepada harga emas semasa.

Beliau memberitahu, LZNK juga memperkenalkan dua skim baharu, iaitu Wakaf Kilang Padi (Projek Hasan) dan Sedekah Sehari RM1 bagi memperluaskan manfaat zakat kepada masyarakat.

"Projek Hasan bertujuan membangunkan ekosistem pertanian berasaskan wakaf, termasuk kilang padi, traktor, lori, mesin padi, dan dron wakaf.

"Sehingga kini, projek ini telah mengumpulkan lebih RM1.3 juta daripada sasaran RM11 juta," katanya.

Menurutnya, skim Sedekah Satu Hari Satu Ringgit membolehkan masyarakat menyumbang RM1 sehari bagi tujuan kebajikan dan pembangunan ummah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!