Tiga ahli geng Adik Mamat termasuk anak Datuk didakwa

JOHOR BAHRU – Tiga ahli kumpulan jenayah Geng Adik Mamat, termasuk seorang anak kepada bergelar Datuk, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan merompak, memiliki senjata api, serta senjata api tiruan bulan lalu.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan dihadapi secara bersama dan berasingan.
Di Mahkamah Sesyen, Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail mendengar pertuduhan terhadap Mohamad Haidar Abdullah, 34, dan N Klement Raj, 38, didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki, Hon Chong Seng.
Mereka didakwa merompak wang tunai RM3,500, telefon bimbit iPhone XS Max dan iPhone 13 Pro Max, kad ATM, lesen memandu, kad pengenalan, serta dompet milik mangsa.
Bagi kesalahan itu, mereka dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu di mahkamah sama, Mohamad Haidar Abdullah turut berdepan satu lagi pertuduhan memiliki senjata api secara haram, iaitu sepucuk pistol hitam jenis Sig Sauer, berserta kelopak dan sarung senjata.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Rahmat, Kampung Melayu Majidee pada 17 Februari lalu, kira-kira jam 1.05 petang.
Bagi pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak lebih enam kali, jika disabitkan bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Saleh dan Nur Diyana Zubir, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Zafirah Norizan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen.
Dalam pada itu di Mahkamah Sesyen berasingan di hadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, Mohamad Haidar Abdullah dan N Klement Raj turut berdepan pertuduhan merompak seorang lagi mangsa, Chem Sooi Tea, di hadapan sebuah kedai kopi di Jalan Sutera 3, Taman Sentosa, kira-kira jam 5 pagi, 14 Februari lalu.
Dalam kejadian itu, mereka didakwa merampas wang tunai RM650, kad ATM, dan kad pengenalan mangsa.
Bagi kes ini, Hakim Che Wan Zaidi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 seorang, dengan syarat tambahan iaitu, pasport diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu saksi kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadilah Johanuddin, manakala Klement Raj diwakili peguam K Muthiah dan sebutan semula kes turut ditetapkan pada 10 April depan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, seorang lagi ahli kumpulan, Muhammad Zul Syamsi Datuk Johari, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk senjata api tiruan di sebuah rumah di Jalan Rahmat, Kampung Melayu Majidee, kira-kira jam 1.35 petang pada 17 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak lebih RM5,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan Majistret A Shaarmini menetapkan 20 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

