'Bantu beli keperluan puasa, hari raya anak-anak'

TANAH MERAH - Upah hasil membungkus ketupat palas yang diterima oleh beberapa suri rumah di sini sepanjang Ramadan sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan keluarga masing-masing.
Adawiah Abdul Hamid, 48, berkata, upah yang diterima lebih RM100 sehari digunakan untuk membeli keperluan puasa dan hari raya anak-anak.
"Setiap pagi selepas Solat Subuh, saya keluar dari rumah di Kampung Alor Seloran kira-kira enam kilometer dari sini untuk membungkus ketupat palas," katanya.

"Usaha ini sekurang-kurangnya dapat membantu suami, Syed Daud Syed Amin Shah, 52, menambah perbelanjaan keluarga," katanya ketika ditemui pada Selasa.
Seorang lagi suri rumah Hariza Mohd Noor, 51, dari Kampung Alor Tapah berkata, upah diterima hasil membungkus ketupat palas membantu menambah pendapatan keluarganya setiap kali menjelang Ramadan.
"Setiap hari saya mampu membungkus 1,000 biji ketupat palas dalam tempoh lima jam.

"Ia memberi peluang kepada saya untuk membantu suami, Mohamad Aziz, 60, yang bekerja kampung," kata ibu kepada enam anak itu.
Tambahnya, upah yang diterima dimanfaatkan untuk perbelanjaan harian sepanjang Ramadan dan persediaan hari raya.
Upah membungkus juadah yang sinonim dengan Ramadan dan Aidilfitri itu ditawarkan oleh Dapur Ramadan yang diasaskan oleh Zarina Nawawi, 53, sejak tujuh tahun lalu.
Beliau mengambil inisiatif berkenaan bagi membantu asnaf yang mahu menambah pendapatan keluarga sepanjang Ramadan.

Anaknya, Muhammad Harraz Iman, 25, yang meneruskan tradisi membantu golongan tersebut berkata, kebanyakan suri rumah yang menerima upah adalah mereka yang berusia antara 30 hingga 60 tahun.
"Pada tahun ini seramai 25 penduduk mengambil upah bagi membungkus ketupat di Dapur Ramadan.
"Mereka datang seawal jam 7 pagi dan pulang selepas siap membungkus selewat-lewatnya jam 2 petang," katanya.

Tambahnya, permintaan yang tinggi diterima daripada pelanggan menyebabkan perusahaan ibunya itu mengambil inisiatif mengupah asnaf di beberapa kampung.
Ia dilakukan bagi memenuhi tempahan lebih sejuta biji ketupat palas sejuk beku tidak termasuk untuk rumah terbuka Aidilfitri, tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
