Wartawan didakwa minta rasuah akan dibebaskan hari ini

SHAH ALAM - Seorang wartawan daripada sebuah portal tempatan akan dibebaskan pada petang Selasa selepas tempoh remannya tamat hari ini susulan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000 dipercayai sebagai balasan tidak melaporkan artikel berkaitan pekerja asing.
Pengesahan itu dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
"Ya, dia akan dibebaskan petang ini," katanya ringkas pada Selasa.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan wartawan sebuah portal direman empat hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000.
Ia sebagai balasan untuk menurunkan artikel dimuat naik serta tidak menulis lagi mengenai sebuah agensi pekerja asing didakwa terbabit dalam sindiket.
Perintah reman selama empat hari sehingga 4 Mac terhadap suspek dikeluarkan Majistret Beveniyah R Jothi, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Sebelum itu, lelaki terbabit ditahan jam 11.45 malam di sebuah hotel di Shah Alam, hasil aduan dan operasi dilakukan pegawai penyiasat SPRM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
