Bacaan IPU tidak sihat: Al-Sultan Abdullah saran orang ramai ambil langkah waspada

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan ekoran pencemaran udara yang berlaku di kawasan Balok Baru, di sini.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya (TUDM) berkata, ia susulan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan itu dikategorikan sebagai sangat tidak sihat iaitu 251 yang dicatatkan setakat jam 2 petang Isnin.
Menurutnya, keadaan itu dijangka semakin meningkat ekoran kebakaran ladang kelapa berhampiran Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular di sini.
"Baginda berharap semua penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dan kawasan sekitar terutama mereka yang mempunyai masalah pernafasan agar lebih berhati-hati agar tidak menerima kesan langsung akibat pencemaran udara tersebut.
"Al-Sultan Abdullah juga meminta agar kegiatan luar juga perlu dihentikan buat masa ini bagi mengelak sebarang masalah kesihatan termasuk aktiviti melibatkan pelajar sekolah di kawasan berkenaan," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Mohamed Zahari berkata, baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka terutamanya pada musim panas dan berangin ketika ini.
Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang memaklumkan, bacaan IPU di kawasan Balok Baru menunjukkan perkembangan agak positif apabila dikategorikan sebagai tidak sihat iaitu 188 sehingga jam 9 pagi Selasa berbanding sangat tidak sihat semalam.
Kawasan Indera Mahkota dan tiga kawasan lain di Pahang di kategori pada tahap sederhana.
Sebelum ini, media melaporkan kebakaran ladang kelapa di belakang Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) Gebeng sejak 22 Februari lalu merebak dengan kawasan terbakar meningkat kepada 75.67 hektar sehingga Isnin.
Daripada keseluruhan kawasan terbakar, 66.77 hektar berjaya dipadamkan manakala usaha memadam baki kawasan terbakar seluas kira-kira 8.9 hektar masih diteruskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

