Doktor pakar miliki 10 lesen memandu, impi pandu kereta kebal

Antara lesen yang diperoleh Dr Leong Keen Wai. Dr Leong Keen Wai mempunyai kemahiran memandu jengkaut.
Antara lesen yang diperoleh Dr Leong Keen Wai. Dr Leong Keen Wai mempunyai kemahiran memandu jengkaut.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pakar perubatan kecemasan di sebuah hospital kerajaan, Dr Leong Keen Wai mendapat perhatian ramai apabila mendedahkan beliau memperoleh hampir setiap kelas lesen yang ditawarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Berdasarkan perkongsian Dr Keen Wai menerusi laman Facebook, beliau kini memegang 10 lesen memandu antaranya Kelas B (Motosikal besar), Kelas C (Motosikal beroda tiga), Kelas D (Kereta manual), Kelas E ( Lori besar dan lori pembuangan sampah), Kelas H (Traktor, forklift dan sebarang jentera berat dengan roda) dan Kelas I (jengkaut dan jentera terjejak yang lain).

Selain itu, beliau juga pemegang lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam kelas D (ambulans, pengangkutan ulang-alik, e-hailing, teksi, van penumpang, limosin), Kenderaan Perkhidmatan Awam kelas E (Bas), Lesen Memandu Barang kelas E (lori gandar tetap, van jenazah dan Lesen Memandu Barang kelas E (lori gandar artikulasi -treler).

Dr Keen Wai (kiri) memperoleh hampir setiap kelas lesen yang ditawarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dr Keen Wai (kiri) memperoleh hampir setiap kelas lesen yang ditawarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata, ia bermula dengan keinginan untuk memandu sendiri ambulans ketika berlaku kecemasan.

"Mereka kata saya boleh menjadi apa sahaja, jadi saya mengumpul setiap kelas lesen yang ditawarkan JPJ.

"Ia bermula dengan impian saya untuk memandu ambulans apabila ada kecemasan.

"Kemudian mahu memandu lori hospital membawa barang-barang keperluan bagi menghadapi bencana seperti banjir dan tanah runtuh,"ujarnya.

Keen Wai turut menjelaskan bahawa tidak semua lesen dia boleh dapatkan seperti lesen Kelas A (untuk orang kelainan upaya), Kelas F dan G (lesen jentera berat) dan lesen konduktor bas yang kini sudah dimansuhkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, beliau menyimpan impian untuk memandu Caterpillar 797 'haul truck', memulakan respons pantas Skuad Superbike Kecemasan untuk hospitalnya dan belajar memandu kereta kebal tentera.

"Selain itu, perancangan selepas ini ialah mengambil lesen kren menara; kren berantai (crawler crane) dan skylift; b-double trucks (kereta api) dan helikopter.

"Bagaimanapun, saya tidak berminat dengan pesawat. Bagi saya kanak-kanak lelaki tidak pernah membesar tetapi hanya permainan mereka yang semakin besar," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!