70 pemimpin bakal rebut 30 jawatan CEC dalam pemilihan DAP

SHAH ALAM - Seramai 70 calon akan bertanding bagi merebut jawatan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18, pada 16 Mac ini.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim berkata, proses pemilihan CEC akan diadakan di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) Shah Alam, bermula jam 10 pagi.
Steven yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, DAP juga sudah melantik sebuah syarikat audit bebas untuk mengendalikan proses pemilihan pada hari berkenaan.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan hadir ke Kongres DAP ke-18 ini," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.
Antara nama besar yang akan bertanding merebut jawatan CEC termasuklah Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Steven.
Calon wanita yang akan bertanding termasuk Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok; Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching; Menteri Belia dan Sukan, Hanna Yeoh; Ahli Parlimen Bentong, Yong Syefura Othman (Rara); Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee dan Timbalan Yang Dipertua (YDP) Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng.
Turut dijangka menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Ahli CEC termasuklah Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.
Media sebelum ini melaporkan, empat pemimpin veteran DAP termasuk Naib Pengerusinya, M Kulasegaran, Penasihat DAP, Tan Kok Wai, Bendahari DAP, Fong Kui Lun dan ahli CEC, Datuk Seri Phee Boon Poh sudah mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan dalam CEC bagi memberi laluan kepada muka baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
