Kerajaan didesak semak semula dasar pemberian geran

SHAH ALAM - Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) mendesak kerajaan menyemak semula dasar pemberian geran kepada agensi persekutuan selepas dilaporkan tidak mematuhi piawaian perakaunan semasa membuat laporan kewangan.
Berdasarkan laporan berkenaan, Presiden TI-Malaysia, Dr Muhammad Mohan berkata, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi tahun kewangan 2023 mendedahkan, kerajaan telah menyalurkan RM33.6 bilion termasuk geran.
Bagaimanapun, menurutnya, masih terdapat banyak agensi persekutuan dan anak syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mengalami kerugian tanpa pulangan.
“Kami kecewa dengan laporan ini yang mendedahkan kelemahan pengawasan dalaman beberapa agensi persekutuan GLIC.
“Agensi-agensi ini dilaporkan tidak mematuhi piawaian perakaunan semasa membuat laporan kewangan. Kita mesti ingat bahawa dana ini adalah sumber daripada wang pembayar cukai,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Mohammad Mohan, ketidakselarasan dalam rekod kewangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menimbulkan persoalan terhadap kecekapan sistem pengurusan kewangan.
“Terdapat perbezaan dalam baki Akaun Belum Terima yang direkodkan antara SWCorp dan pihak berkuasa tempatan. Perbezaan ini mencerminkan tadbir urus kewangan yang buruk dalam badan atau organisasi yang terlibat.
‘Persoalannya, di manakah tindakan akauntabiliti terhadap isu-isu ini?” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan agensi persekutuan, anak syarikat GLIC atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menggunakan sistem e-SelfAudit yang diperkenalkan oleh Jabatan Ketua Audit Negara untuk menangani masalah ini segera.
Ujarnya, Ketua Audit Negara juga telah memberi jaminan bahawa semua pemberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta Audit 1957, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Keselamatan Siber 2024.
“Sehingga kini, rakyat sentiasa melontarkan persoalan mengenai tindakan yang diambil berdasarkan laporan dan cadangan Ketua Audit Negara.
“Oleh itu, kami mendesak Kerajaan Madani untuk melaksanakan langkah proaktif yang lebih berkesan dan memastikan tindakan sewajarnya diambil bagi menangani penemuan membimbangkan ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

