JDT tenang, fokus buru kemenangan berdepan Buriram – Bidoglio

PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio mahu anak buahnya kekal tenang, fokus dan elak kesilapan mudah menjelang aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Buriram United FC di Stadium Chang Arena, Thailand, pada Selasa.
Menurut Bidoglio, aksi ‘Derbi ASEAN’ itu penting sebagai bekalan sebelum timbal balik di Johor, 11 Mac nanti.
Malah katanya, skuad Harimau Selatan kini lebih mantap dengan kehadiran empat muka baharu seperti Jonathan Viera, Alvaro Gonzalez, Anselmo Moraes dan bekas bintang AC Milan, Samu Castillejo.
“Kami hadir dengan motivasi tinggi selepas menjulang Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut.
"Persiapan rapi juga telah dibuat, komunikasi dengan pemain diperkukuh supaya kesemuanya jelas dengan taktikal yang dirancang,” katanya menjelang aksi berkenaan.
Sementara itu, Bidoglio turut mengingatkan pemain agar berwaspada berdepan ancaman daripada tiga pemain baharu Buriram United seperti penyerang kelahiran Italian, Martin Boakye, pertahanan kental dari Korea Selatan, Ko Myeong-sok dan pemain sayap lincah, Suphanat Mueanta.
“Buriram pasukan berkualiti, tapi kami tahu cara bermain di gelanggang lawan kerana apa yang penting, kami kena kekal kompak dan bijak mengawal tempo sepanjang 90 minit.
"Kita juga tidak mahu terlalu fokus kepada lawan dan sebaliknya memberikan fokus utama kepada persiapan pasukan sendiri.
"Dengan disiplin berpasukan, kombinasi taktikal mantap serta kualiti individu pemain, saya yakin JDT mampu mencipta keputusan positif di Thailand," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
