Aliran air berwarna berpunca kerja cucian tong cat premis perabot

SUNGAI BULOH - Aliran air berwarna yang dikesan dalam longkang di kawasan Kampung Desa Aman di sini dipercayai berpunca daripada sebuah premis perabot yang melakukan kerja mencuci tong cat.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan, insiden air berwarna itu dikesan mengalir masuk ke sungai berhampiran sekitar jam 3 petang pada Sabtu.
Menurut LUAS, pasukannya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor segera ke lokasi dan menjalankan siasatan.

"Hasil daripada semakan dan pemerhatian di persekitaran, aliran berwarna tersebut disyaki berpunca daripada sebuah premis perabot.
"Semakan lanjut LUAS dan JAS mendapati kerja-kerja cucian tong cat telah dilakukan oleh premis tersebut di tapak basuhan premis dan ia masuk ke dalam longkang berhampiran," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Tambah kenyataan itu, LUAS telah mengarahkan premis terlibat untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan kadar segera di lokasi.

Katanya, pasukan LUAS juga meletakkan satu beg 'activated carbon' (AC) di lokasi berkenaan bagi mengelakkan aliran berwarna terus mengalir keluar.
Menurutnya, situasi di lokasi itu berjaya dikawal daripada memberikan impak yang lebih teruk kepada sumber air dan sungai berhampiran.
"Pasukan LUAS telah melakukan pensampelan di lokasi terlibat dan ia telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.

"Satu kertas siasatan di bawah Seksyen 79 (4) Enakmen LUAS 1999 telah dibuka bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap kesalahan mencemarkan sumber air tertakluk kepada keputusan analisis Jabatan Kimia," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
