X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada sebab Pas mahu bersama DAP, kata Pemuda Pas

Khairil Nizam Khirudin
A
A

SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas menyokong penuh ketegasan Muafakat Nasional dan pakatan blok pembangkang untuk tidak bersama dengan kerajaan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya DAP bersama.

Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin mendakwa, selama 22 bulan pemerintahan, DAP yang banyak memberikan ancaman kepada perpaduan negara dan menyebabkan ketidakstabilan politik sehingga kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi dipercayai rakyat dan tumbang kerana konflik dalaman.

“DAP juga adalah sebuah parti yang tidak boleh dipercayai. DAP sebelum ini lantang mendesak Tun Mahathir agar menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, tetapi akhirnya membuat u-turn apabila menyokong Tun Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri setelah nyawa di hujung tanduk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tegas beliau, hakikatnya DAP sendiri melalui tindakan-tindakan mereka selama memegang tampuk kerajaan membuktikan mereka adalah sebuah parti yang rasis dan cauvanis.

“Tekanan dan desakan mereka supaya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diluluskan serta campur tangan mereka dalam hal ehwal Islam dan Melayu, menyebabkan ketidakharmonian kepada negara dan perpecahan di kalangan masyarakat,” katanya.

Justeru, katanya, tiada sebarang sebab munasabah untuk Pas bersama DAP membentuk kerajaan sama ada kerajaan tanpa DAP atau serahkan kembali mandat kepada rakyat melalui pembubaran Parlimen.

“Kami tidak rela bersama DAP yang rasis dan cauvanis,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus