'Che Ta belum lunas baki hutang Mara RM443,392' - Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Selebriti terkenal, Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta masih belum melunaskan baki hutangnya dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) berjumlah RM443,392.
Memetik laporan Berita Harian, perkara tersebut didedahkan oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini.
Beliau berkata, setakat 18 Februari lalu, Rozita membayar hutangnya sebanyak RM689,307.59 dengan kira-kira RM150,000 bayaran secara tunai di pejabat agensi berkenaan, manakala selebihnya melalui transaksi dalam talian.
Bagaimanapun, menurut Asyraf Wajdi, baki RM443,392 itu perlu dijelaskan sepenuhnya menjelang akhir bulan ini atau tindakan tegas bakal diambil sepertimana dikenakan kepada peminjam lain yang gagal memulangkan semula wang sehinggakan Mara terpaksa menanggung pinjaman tidak berbayar (NPL) mencecah 49.6 peratus.
"Bayaran pelakon itu dibuat bagi menangguhkan tindakan pelaksanaan penghakiman diambil oleh Mara untuk mahkamah melelong hartanya yang kemudian boleh menyebabkan kebankrapan.
"Rozita belum bayar habis hutangnya kepada Mara dengan baki tertunggak berjumlah RM443,392 yang perlu dilunaskan sepenuhnya sebelum 31 Mac ini. Jadi, dakwaan kononnya dah langsai semua hutang dengan Mara tidak benar.
"Jika dikira-kira, baki hutang Rozita kalau dibayar boleh tampung hampir 50 pelajar yang menuntut di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM).
"Justeru, saya tegas dan tidak berkompromi dengan sesiapa yang berhutang termasuk artis atau golongan ternama," katanya pada Sabtu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, aktres tersebut mendakwa sudah melangsaikan sepenuhnya hutang pinjaman perniagaan Mara bernilai hampir RM1 juta.
Perkara berkenaan dimaklumkan Rozita dalam tangkap layar perbualan bersama anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana, 10, menerusi aplikasi WhatsApp.
Susulan itu, Asyraf Wajdi menafikan dakwaan Rozita yang kononnya selesai menjelaskan semua hutang pinjaman perniagaan diterimanya.
Pada 10 Disember lalu, kediaman Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya dilaporkan telah diserbu Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman hampir RM1 juta.
Rozita dikatakan masih belum tampil bertemu pihak berkenaan untuk berbincang mengenai penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman berjumlah RM960,000 dibuat syarikat miliknya, RCW Worldwide Sdn Bhd.
Rentetan daripada itu, bahagian undang-undang Mara dikhabarkan dalam proses memfailkan kebankrapan terhadap Rozita dan anak sulungnya, Ammar Effendy yang gagal membayar pinjaman.
Pada 24 Disember lalu, acara lelongan awam membabitkan 34 barangan milik Rozita yang juga isteri kepada pelakon, Zain Saidin dengan jumlah keseluruhan RM902,012.46 sepatutnya diadakan, namun ditangguh atas permohonan selebriti itu sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

