'Ini bukan tindakan kali pertama, Che Ta diminta runding dengan Mara' - Asyraf Wajdi

BUTTERWORTH - [DIKEMAS KINI] Aktres Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy, 28 diminta tampil bagi berunding dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengenai pembayaran hutang hampir RM1 juta.
Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, prosedur pemfailan kebankrapan akan tetap diteruskan selepas pelakon berusia 51 tahun itu gagal melunaskan hutang dalam tempoh tujuh tahun.
"Ini bukan tindakan mahkamah kali pertama yang dikenakan terhadapnya, tetapi ini sudah kali kedua dan sekarang ini yang paling penting datanglah kepada Mara untuk berbincang.
"Bayar balik pinjaman yang dibuat sebab ia sudah berlarutan sejak tahun 2017,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Barisan Nasional Negeri Pulau Pinang 2024 di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena di sini pada Ahad.
Sebelum ini media melaporkan Bahagian undang-undang Mara kini dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Che Ta dan anak sulungnya, yang gagal membayar pinjaman hampir RM1 juta sejak 2017.
Langkah itu adalah prosedur susulan yang dilakukan terhadap selebriti itu selepas dia gagal melunaskan hutangnya dalam tempoh tujuh tahun walaupun pelbagai usaha diambil Mara bagi mendapatkan semula wang berkenaan sehingga membawa kes itu ke mahkamah.
Dikatakan, pinjaman Mara berjumlah RM960,000 dibuat syarikat milik pelakon itu, RCW Worldwide Sdn Bhd dengan Rozita dan anak lelakinya itu sebagai penjamin.
Difahamkan, pada Julai tahun lalu, Mara sudah memfailkan notis kebankrapan kepada Rozita dan anaknya itu tetapi disebabkan wujud isu teknikal, ia ditarik balik pada bulan lalu sebelum diteruskan dengan tindakan writ penyitaan dan penjualan (WSS) harta pelakon terbabit pada Selasa lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!