Daging dan tulang lembu dijual murah, RM25 sekilogram

SEREMBAN - Seperti kebiasaan, gerai jualan daging antara yang menjadi tumpuan orang ramai menjelang Ramadan khususnya di Negeri Sembilan yang sinonim dengan Mantai Puasa.
Orang ramai pastinya ingin mendapatkan barang keperluan bagi persiapan menyambut Ramadan pada harga yang berpatutan.
Justeru, Program Jualan Rahmah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan di sini menawarkan daging dan tulang lembu pada harga RM25 sekilogram.
Harga itu jauh lebih murah berbanding harga pasaran iaitu RM36 sekilogram dengan tiga ekor lembu disediakan bagi jualan murah tersebut.
Pesara, Mohd Nasir Abdullah, 68, berkata, membeli dua kilogram daging lembu untuk dimasak rendang pada petang ini.

"Hari ini ramai yang balik, saya beli dua kilogram sahaja sebab anak-anak ada yang sudah membelinya semalam. Alhamdulillah harga murah hari ini, berbaloi rasanya," katanya ketika ditemui pada Program Jualan Rahmah Madani DUN Ampangan di sini pada Sabtu.
Hamdan Ismail, 63, pula berkata, dia turut merebut peluang membeli barangan keperluan pada harga murah seperti ayam dan daging segar.
"Saya tengok sambutan pasar rahmah ini ramai yang datang, ia beri banyak manfaat, lagi-lagi kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, peniaga daging, Ishak Fazaldin, 70, berkata, harga murah itu ditawarkan sempena Program Jualan Rahmah Madani dan dia turut menyertai program sama di Lobak dan Lenggeng dengan jumlah keseluruhan sembilan ekor lembu yang diperuntukkan.
"Ini kali pertama kali saya sertai jualan rahmah, Alhamdulillah sambutan menggalakkan. Harga kita ikut yang ditetapkan oleh pihak berkenaan," katanya yang menternak lembu di Rantau.
Ujarnya, harga daging lembu yang ditawarkannya ialah RM33 sekilogram dan ia masih murah berbanding harga semasa ketika ini.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman turut hadir menyantuni orang ramai di lokasi jualan di Dewan Orang Ramai Taman Dusun Nyior dan Pasar Ampangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
