Netizen Thailand kecam pemandu asing pandu secara berbahaya

PHUKET - Seorang lelaki tempatan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemandu asing yang memandu secara berbahaya selepas sebuah motosikal yang ditunggang warga asing merempuh bahagian belakang sebuah kereta hatchback yang turut dipandu warga asing di Phuket, Thailand.
Portal Thaiger melaporkan, lelaki itu memuat naik rakaman kemalangan terbabit menerusi akaun TikToknya, @ram_cream, pada 27 Februari lalu dengan kapsyen videonya mengkritik pemandu asing serta pihak berkuasa tempatan.
“#WakeUp. Bilakah pihak berkuasa Phuket akan memperkenalkan langkah mengawal tingkah laku pemandu asing? Mereka memandu dengan laju di kawasan perumahan, terlibat dalam insiden langgar lari dan menyebabkan masalah besar kepada penduduk tempatan.
"Tiada undang-undang yang mengawal kedai penyewaan kenderaan yang membenarkan warga asing menyewa kenderaan walaupun tanpa lesen memandu. Jabatan Pengangkutan Darat tidak sepatutnya membenarkan warga asing menunggang motosikal melebihi 300cc. Mereka semakin berbahaya di jalan raya. Kedua-dua pemandu dalam video ini adalah warga asing,” tulisnya.
Dalam rakaman tersebut, kereta hatchback itu sedang membuat pusingan U sebelum motosikal yang bergerak di lorong kiri merempuh bahagian belakang kenderaan terbabit dengan kuat, menyebabkan tayar belakang sebelah kanan kereta terangkat.
Motosikal itu kemudiannya terpelanting ke laluan bertentangan manakala penunggangnya bergolek di atas jalan.
Bagaimanapun, lelaki itu memaklumkan bahawa kedua-dua individu terlibat selamat dengan penunggang motosikal hanya mengalami kecederaan ringan seperti calar dan lebam.
Di media sosial, ramai netizen menuntut kerajaan menilai semula kesan negatif skim visa percuma yang dikatakan membolehkan lebih ramai pelancong asing memasuki negara itu dan mencetuskan masalah.
Kebimbangan ini susulan beberapa kejadian sebelum ini yang melibatkan warga asing dalam kemalangan jalan raya serta aktiviti jenayah.
Bangkok Biz News pada 26 Februari lalu melaporkan bahawa sektor swasta telah menggesa kerajaan mengurangkan tempoh tinggal bagi skim visa percuma daripada 60 hari kepada 30 hari bagi mengelakkan warga asing menetap lebih lama dan terlibat dalam perniagaan atau pekerjaan haram.
Setakat ini, kerajaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung cadangan tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
