12 selebriti meriahkan Karnival Warisan @ Saloma

Karnival Warisan @ Saloma menyasarkan kehadiran 50,000 tetamu dari 3 hingga 28 Mac depan. - FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Karnival Warisan @ Saloma menyasarkan kehadiran 50,000 tetamu dari 3 hingga 28 Mac depan. - FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

Karnival Warisan @ Saloma bakal menjadi tumpuan warga kota sepanjang bulan Ramadan apabila lebih 12 selebriti terkenal tanah air turut serta memeriahkan bazar eksklusif itu.

Bertempat di Lanai @ MATIC, Kuala Lumpur, karnival tersebut berlangsung dari 3 Mac hingga 28 Mac 2025 dan menjanjikan pengalaman membeli-belah yang unik serta penuh warna-warni budaya dan warisan.

Antara selebriti yang bakal menyertai acara ini termasuklah Aidil dan Fasha Sandha, Rozita Che Wan, Betty Banafee, Ashraf Muslim, Sharifah Shahirah, Datuk Fizz Fairuz, Syikin Maembong, Cat Farish, Jue Aziz, Cheb Ali serta Azura Aziz, Nad Zainal, Aprena Manrose dan ramai lagi.

Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Datuk Che Umar berkata, karnival ini menawarkan lebih daripada 150 reruai yang menjual pelbagai produk, termasuk fesyen, aksesori, makanan tradisional, kelengkapan rumah serta barangan keperluan Ramadan dan Aidilfitri.

Datin Riza - FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Datin Riza - FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

"Selebriti yang terlibat ini bukan sahaja akan membuka reruai jualan. Antara syarat yang kami tetapkan setiap selebriti terlibat bukan hanya sekadar menjual produk, tetapi turut mengambil bahagian dalam sesi khas ‘Meet & Greet’ bersama peminat.

“Sebagai salah satu bazar utama di Kuala Lumpur, Karnival Warisan @ Saloma memberikan peniaga terutama artis peluang untuk berniaga di lokasi premium dengan kadar sewa serendah RM5,000.

"Ini memberi akses kepada ribuan pengunjung setiap hari, khususnya menjelang Syawal apabila permintaan terhadap barangan keperluan meningkat,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media Karnival Warisan @ Saloma di Saloma Kuala Lumpur pada Khamis.

Majlis perasmian karnival ini akan disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick pada 16 Mac 2025 (Ahad) jam 6 petang.

Karnival ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta agensi kerajaan lain bagi memperkasakan peniaga kecil dan sederhana (PKS) dalam memperluaskan pasaran mereka.

Artikel Berkaitan:

Selain jualan dan kehadiran selebriti, karnival tersebut juga menawarkan pelbagai aktiviti promosi dan cabutan bertuah, termasuk peluang memenangi motosikal elektrik (EV) setiap minggu.

Sebagai nilai tambah, Karnival Warisan @ Saloma turut menyediakan kemudahan berbuka puasa, solat terawih, moreh, dan sahur di Saloma.

Beberapa agensi kerajaan seperti KEMAS turut terlibat dalam menaja peniaga di bawah kendalian mereka, sementara pihak berkuasa seperti Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, PDRM, menyediakan kaunter bayaran saman trafik serta kaunter pembayaran zakat untuk kemudahan orang ramai.

Waktu operasi yang fleksibel, termasuk jualan 24 jam pada minggu terakhir Ramadan, karnival ini dijangka menjadi destinasi utama bagi pengunjung yang ingin mendapatkan keperluan Syawal dalam suasana yang eksklusif dan moden.

Menerusi gabungan elemen warisan songket dan moden, Karnival Warisan @ Saloma bukan sahaja mempromosikan perniagaan tempatan tetapi turut mengangkat budaya dan warisan negara ke satu tahap yang lebih tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!