Berat bersih dadah kes Along Cham turun daripada 2.07 gram kepada 1.49 gram

SEPANG – Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat diberitahu, berat bersih dadah membabitkan satu kes memiliki ganja dihadapi pelawak, Along Cham, turun daripada 2.07 gram kepada 1.49 gram.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Sutri Patang memaklumkan perkara itu ketika prosiding sebutan semula kes di hadapan Majistret, Muhammad Bukhori Md Ruslan.
“Laporan kimia berhubung kes ini telah diterima,” katanya yang kemudian memohon mahkamah membacakan semula pertuduhan terhadap Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42.
Bekas penyampai radio yang memakai baju kemeja berkot hitam, mengulangi pendirian tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa atas satu pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Selain kes tersebut, pelawak itu turut berdepan dua lagi kes dadah iaitu pertama, dia didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 49.61 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39(A)(1) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC) ke dalam badan, di lokasi sama, pada jam 10 malam, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 boleh dibaca bersama 38 B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Sementara itu, Muhammad Nizamuddin Ahmad berkata, meskipun perlu menjalani perbicaraan yang panjang, namun dia bersedia untuk menghadapinya.
Pelakon filem 'Bro, Nampak Motor Gua?' itu berkata, pada perbicaraan kelak, dia akan memberikan kerjasama yang penuh sepanjang prosiding nanti.
"Saya akan memberikan kerjasama yang penuh," katanya ketika ditemui selepas prosiding kes di luar Mahkamah Majistret di sini bersama ibunya, Siti Habsah Kadir, 64.
Dalam prosiding ini, peserta program realiti itu diwakili peguam, Syed Yusuf Syed Zaid.
Dalam pada itu, ditanya mengenai pergolakan rumah tangga dengan isteri, Afreena Suhaimi, 33, Muhammad Nizamuddin berkata, prosiding berhubung permohonan pengesahan lafaz cerai secara taklik di Mahkamah Rendah Syariah di sini, ditetapkan pada 10 Mac depan.
Pelawak itu menyatakan hasrat, tidak mahu melengah-lengahkan kes itu selepas merujuk dengan beberapa pihak agamawan.
"Saya tak berani nak lama-lamakan benda ini sebab ia membabitkan hukum agama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

