[VIDEO] Along Cham menangis sebak, mahu bersihkan nama

A
A
A

SEPANG - Sejurus dilepaskan sementara oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, dengan jaminan RM5,000 atas dua kes dadah, pelakon dan pelawak, Along Cham merangkul ibu, isteri dan anak lelakinya yang berusia 14 tahun.

Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, juga gagal menahan air mata ketika memeluk rakan artis lain, iaitu Angah Raja lawak dan pelakon, Didie Alias.

Mereka turut melontarkan kata-kata semangat supaya pelakon filem 'Bro, Nampak Motor Gua?' kuat menghadapi ujian tersebut.

Bapa kepada empat cahaya mata termasuk tiga anak tiri itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraannya termasuk barisan peguam yang berusaha membersihkan namanya daripada kes terbabit.

Along gagal menahan air mata ketika memeluk rakan artis lain, iaitu Angah Raja lawak
Along gagal menahan air mata ketika memeluk rakan artis lain, iaitu Angah Raja lawak

"Saya ucapkan terima kasih kepada keluarga kerana hanya mereka yang mengenali diri saya yang sebenar.

"Tidak lupa juga kepada peminat yang mendoakan saya termasuk ibu angkat, Didie Alias," katanya.

Dia berkata, selepas ini usaha tertumpu kepada langkah-langkah untuk membersihkan namanya.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun ini ujian yang saya perlu hadapi namun saya akan terus kuat untuk membersihkan nama saya," katanya.

Pada pagi Isnin di Mahkamah Majistret di sini, Muhammad Nizamudin mengaku tidak bersalah atas dua kes dadah.

Mengikut pertuduhan pertama, pelawak itu didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 49.61gram di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39(A)(1) akta sama.

Along Cham merangkul anak lelakinya yang berusia 14 tahun sejurus dilepaskan sementara oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Isnin.
Along Cham merangkul anak lelakinya yang berusia 14 tahun sejurus dilepaskan sementara oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Isnin.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC), di lokasi sama, pada jam 10 malam, di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Sek 15(1)(a) ADB 1952 boleh dibaca bersama 38 B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Pada 20 Disember tahun lalu, dia dituduh atas satu pertuduhan memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 2.07 gram, di lokasi sama, masa dan tarikh serupa.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ini menjadikan pelakon realiti TV ini berdepan tiga kes dadah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!