Jual diesel subsidi syarikat kepada bengkel, dua lelaki diberkas

Serbuan KPDN Perak menemukan sebanyak 286 liter cecair yang disyaki minyak diesel dalam Op Tiris 2025 di sebuah bengkel di Talang di sini pada Khamis.
Serbuan KPDN Perak menemukan sebanyak 286 liter cecair yang disyaki minyak diesel dalam Op Tiris 2025 di sebuah bengkel di Talang di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya membongkar sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang beroperasi di sebuah bengkel di Talang di sini menerusi Op Tiris 2025 pada Khamis.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, kejayaan menumpaskan kegiatan haram tersebut dilakukan sepasukan penguat kuasa hasil risikan selama seminggu di sekitar daerah tersebut.

Menurutnya, modus operandi sindiket berkenaan melibatkan pemandu lori yang tidak amanah menjual minyak diesel dari tangki lori syarikat tempat mereka bekerja kepada pihak bengkel pada harga RM2 seliter.

"Pemandu lori ini akan menyedut minyak diesel dari tangki asal lori menggunakan pam dan hos sebelum dipindahkan ke dalam 'jerry can' di bengkel tersebut.

"Minyak itu kemudian dijual semula kepada lori pengangkutan lain pada harga RM2.70 seliter," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kamalludin berkata, ketika serbuan dilakukan sekitar jam 1 petang itu, dua lelaki tempatan berusia 62 dan 49 tahun yang dipercayai pemilik bengkel serta pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan di lokasi menemui anggaran 286 liter cecair yang disyaki minyak diesel, selain 27 unit tong serta sebuah lori yang turut digunakan dalam aktiviti ini.

Menurutnya, pihak KPDN juga tidak menemui sebarang permit atau lesen berkaitan barang kawalan ketika pemeriksaan tersebut.

Beliau berkata, nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM95,909.48, dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamalludin memaklumkan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan.

Beliau turut menggesa masyarakat menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyelewengan barang bersubsidi bagi memastikan kegiatan haram ini dapat dibanteras.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!