Cabaran dan peluang dalam penggunaan AI

KEMAJUAN pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi di Malaysia dijangka membawa cabaran besar kepada tenaga kerja negara, terutama bagi pekerja dalam sektor berkemahiran rendah.
Pada tahun 2025, banyak syarikat besar di negara ini dijangka melaksanakan penstrukturan semula bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing melalui penggunaan teknologi AI.
Langkah ini walaupun membawa kemajuan, turut menimbulkan kebimbangan berhubung pengurangan tenaga kerja dalam beberapa industri utama.
Pakar ekonomi dan pemimpin industri menyatakan bahawa sektor perkilangan dan perkhidmatan antara yang paling terkesan, dengan tugas-tugas rutin semakin digantikan oleh sistem automasi.
Pekerja yang tidak memiliki kemahiran teknologi cenderung kehilangan pekerjaan, melainkan mereka mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kemahiran.
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat petroleum nasional, Petronas turut dijangka melaksanakan proses rightsizing bagi menyesuaikan operasi mereka dengan perkembangan teknologi.
Proses ini dijangka berlaku pada pertengahan tahun 2025 dan bakal memberi kesan kepada sejumlah tenaga kerja, khususnya dalam bahagian boleh diautomasi.
Keputusan ini dibuat bagi memastikan syarikat kekal kompetitif dalam menghadapi cabaran industri tenaga yang semakin bergantung kepada teknologi digital.
Bagaimanapun, kerajaan melalui Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 telah merangka strategi bagi menangani cabaran ini.
Usaha termasuk program latihan semula dan peningkatan kemahiran bagi memastikan tenaga kerja Malaysia dapat menyesuaikan diri dengan keperluan pekerjaan masa hadapan.
Sementara itu, pakar industri menekankan kepentingan pendidikan dan latihan berterusan bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan dalam era digital.
Pekerja digalakkan untuk menguasai kemahiran berkaitan AI, analitik data dan automasi bagi memastikan daya saing mereka tidak terjejas.
Secara keseluruhannya, walaupun AI membawa cabaran kepada pasaran pekerjaan, senario juga membuka peluang baharu bagi mereka yang bersedia untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
