'Saya tak terlibat rundingan kerjasama GRS dengan parti lain' - Armizan

PAPAR - Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan beliau tidak terlibat dalam rundingan bagi menentukan kerjasama politik GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu bagaimanapun menjelaskan, beliau kini lebih memberi tumpuan kepada persediaan jentera untuk menghadapi PRN Sabah.
"Setakat ini saya tidak terlibat (rundingan kerjasama) tetapi macam di Papar, ada pemimpin sudah umum mereka tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Papar termasuk Pantai Manis.
"Jadi, jentera saya di Papar ini khususnya di Pantai Manis sudah mula bekerja, sebab tiada orang mahu bekerjasama dengan kita. Calon-calon kami sudah menunggu, bekerja keras dan kami sudah bersedia (untuk bertanding).
"Saya juga tidak mahu terlibat dengan apa-apa polemik, mahu kerjasama atau tidak, bila masa tiba kita akan berhadapan dengan rakyat," katanya selepas menyempurnakan Program Advokasi Sara Hidup dan Pembukaan Akuan Bank Penerima SYUKUR pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jika ada sebarang rundingan kerjasama rasmi antara GRS dengan mana-mana parti termasuk Barisan Nasional (BN) setakat ini.
"Dalam politik ini, akhirnya mereka juga merayu, tidak perlu persoalkan lagi. Bagi saya, Ketua Menteri merayu bukan setakat merayu begitu tetapi dalam rayuannya membentangkan pencapaian dan hala tuju kerajaan.
"Jadi kalau ada pihak yang tidak mahu merayu, tahniah mungkin mereka yakin. Jadi rakyat tidak perlulah lagi mendengar rayuan lagi, mereka yakin akan dapat (kemenangan)," katanya.
Sebelum ini, Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mempersoalkan tindakan Hajiji yang merayu supaya diberikan mandat sekali lagi dalam PRN Sabah nanti.
Beliau berkata, tiada keperluan untuk Hajiji merayu jika agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kerajaan pimpinannya berjaya dilaksanakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
