Remaja didakwa bunuh bayi diarah jalani penilaian kesihatan mental

PORT DICKSON - Mahkamah Majistret di sini pada Khamis mengarahkan remaja perempuan yang dituduh membunuh bayinya bulan lalu dirujuk ke Hospital Permai di Tampoi, Johor bagi penilaian kesihatan mental selama sebulan.
Perintah itu dikeluarkan Majistret, Hairun Najmi Mashahadi terhadap Nurul Ain Haslan, 19, selepas permohonan dibuat peguamnya, Ahmad Lokman Abdul Aziz ketika prosiding sebutan semula kes.
Ahmad Lokman yang melakukan khidmat guaman secara pro bono memohon tertuduh dihantar ke hospital mental atas alasan berdasarkan pertuduhan, perbuatan dibuat sejurus selepas bayi dilahirkan.
"Antaranya (penilaian) post natal depression atau postpartum psychosis sebelum boleh dibicarakan bagi pertuduhan yang melibatkan elemen niat," katanya.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memaklumkan yang laporan bedah siasat masih belum diterima dan memohon tarikh untuk sebutan semula.
Bagaimanapun, Ahmad Lokman memohon agar Nurul Ain dihantar ke hospital mental bagi mendapatkan penilaian sewajarnya berkenaan keadaan kesihatan mental secara khusus.
Pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan tersebut danmahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 Mac ini.

Pada 31 Januari lalu, Nurul Ain dan kekasihnya, Ermer Irfan Hasren, 22, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan membunuh seorang bayi perempuan di Teluk Kemang, Port Dickson pada 21 Januari lalu.
Kedua-dua mereka hanya mengganguk faham sebaik pertuduhan dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan.
Berdasarkan pertuduhan, mereka mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang bayi perempuan.
Perbuatan itu dilakukan antara jam 5.30 pagi sehingga jam 4 petang.
Berikutan itu, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara tidak kurang dari 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta minimum 12 kali sebatan.
Media pada 22 Januari melaporkan pasangan kekasih direman tujuh hari untuk siasatan menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian bayi cukup sifat.
Mereka sebelum itu ditahan pada 21 Januari, selepas polis menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Port Dickson, memaklumkan menerima pesakit perempuan tempatan yang melahirkan bayi, namun bayi gagal dikesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

