Taktik pelaris perang 'gila-gila' jual baju raya

MERAK Jalanan tertarik dengan ragam promosi jualan baju raya tahun ini.
Mana tidaknya, masuk sahaja bulan Januari sudah mula sedikit demi sedikit promosi tular di media sosial seperti Facebook mahupun TikTok.
Apa yang Merak Jalanan lihat di media sosial, pengusaha perniagaan ini bijak mengambil peluang menggayakan fesyen pakaian raya mereka bermodelkan artis terkenal.
Biar pun trend 'menggunakan' artis popular ini sama setiap tahun, sangat mencuri perhatian apabila pemakaian tradisi itu diselitkan dengan pasangan masing-masing bagi mensensasikan jualan.
Merak Jalanan tidak mahu cakap siapa artis dan pasangan itu. Bagi Merak Jalanan itu taktik pelaris yang sangat ideal.
Bukan sahaja dalam kalangan artis, model pakaian raya ini juga dipromosikan atlet sukan serta ahli politik.
Bila pihak syarikat lantik duta dalam kalangan pasangan artis mahu pun individu popular lain, warganet mula membuat spekulasi dan mencuit untuk bertanya soal cinta dan jodoh.
Belum masuk lagi pun bulan puasa, tapi bila promosi 'gila-gila' ini sejak Januari, orang ramai mengambil kesempatan untuk membuat pembelian awal hingga tular di media sosial.
Merak Jalanan juga yakin, selain menonjolkan artis sebagai model, persaingan ini juga 'berperang' dengan tawaran pilihan warna yang jarang dan mungkin tidak pernah didengar.
Senang cerita biasanya kita tahu warna biru tua dan biru muda sahaja, walhal biru itu ada lagi bermacam jenis.
Menarik bukan? Sudah tentu pembeli akan pening kepala buat pilihan.
Bagaimanapun, boleh dilihat setiap tahun penjualan baju raya menjadi persaingan sihat sesama pemilik perniagaan terbabit.
Sudah tentu, promosi di media sosial akan dimanfaatkan sebaiknya untuk melariskan apa sahaja jualan termasuklah baju raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
