Laluan ke hospital terputus, wanita nyaris bersalin di tengah jalan

Wanita yang mahu bersalin terpaksa diusung melalui laluan yang terputus disebabkan runtuhan cerun di Jalan Ranau-Tambunan sebelum diserahkan kepada ambulans dan dihantar ke hospital berhampiran.
Wanita yang mahu bersalin terpaksa diusung melalui laluan yang terputus disebabkan runtuhan cerun di Jalan Ranau-Tambunan sebelum diserahkan kepada ambulans dan dihantar ke hospital berhampiran.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang wanita nyaris bersalin di tengah jalan apabila perjalanannya ke hospital terkandas akibat laluan terputus susulan kejadian cerun runtuh di Jalan Ranau-Tambunan pada Rabu.

Kejadian itu tular di media sosial menerusi video berdurasi satu minit 25 saat yang memaparkan keadaan ketika itu hujan manakala jalan raya tidak dapat dilalui oleh kenderaan kerana ditimbuni tanah.

Video yang dikongsikan di Facebook itu turut memaparkan pasukan perubatan kelihatan berada di lokasi menunggu pesakit yang terpaksa diusung dan melalui kawasan tanah runtuh untuk dipindahkan ke ambulans sebelum dibawa ke hospital.

Menerusi komen yang ditinggalkan pada video tersebut, warganet memaklumkan wanita itu telah selamat melahirkan bayinya di hospital.

Selain itu, warganet turut memuji kecekapan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Hospital Tambunan dan klinik desa sekitar Tambunan serta penduduk kampung yang turut membantu ketika itu.

Sebelum itu, hujan berterusan di kawasan pantai barat Sabah termasuk Ranau seperti yang dilaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah menyebabkan jalan raya terjejas akibat runtuhan cerun yang menutupi keseluruhan laluan berkenaan.

Sementara itu, menurut laporan daripada Facebook rasmi Jabatan Kerja Raya Sabah memaklumkan status jalan ketika itu tidak boleh dilalui dari kedua-dua arah dan setakat jam 2.31 petang hanya satu lorong boleh dilalui.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!