X

Kindly register in order to view this article
!

Mufti Pahang minta rakyat doa negara selamat

Abdul Rahman Osman
A
A

KUANTAN - Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman meminta umat Islam berdoa kepada ALLAH SWT supaya Malaysia selamat dan harmoni sekiranya berlaku perubahan kerajaan.

Beliau turut menasihati rakyat negeri Pahang supaya bersabar dan menghormati sebarang keputusan serta pengisytiharan yang akan dibuat Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Muatafa Billah Shah.

“Senjata umat Islam adalah doa. Berdoalah supaya rakyat negara ini tidak kira agama dan kaum dapat hidup harmoni di bawah kepimpinan yang adil.

“Tanpa kekecohan dan huru-hara pun boleh merudumkan ekonomi apatah lagi jika ia berlaku. Kita bersabar dan tunggu keputusan pihak berkuasa serta pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong. Apapun yang berlaku selepas itu, kita harus terima seadil-adilnya.

“Hadis Rasulullah SAW juga menyuruh kita umat Islam supaya taat kepada pemimpin yang adil,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurutnya, beliau berharap penyatuan umat Islam akan berkekalan dan mempamerkan bahawa Malaysia adalah negara Islam dalam pemerintahan kerajaan baharu.

“Kita juga harap kegemilangan negara akan dikembalikan dan tidak lagi berlaku perpecahan dan ketegangan kaum.

“Pemerintahan yang adil dan selamat berlaku apabila dipegang umat Islam seperti yang termaktub di dalam kontrak sosial sewaktu tertubuhnya negara ini.

“Kaum bukan Islam boleh hidup aman dan harmoni di dalam negara yang diperintah umat Islam yang adil,” katanya.