Tipo, Eros bantu pencarian Hud Aryan

Tipo memulakan pencarian kanak-kanak hilang di Kampung Aira Kuala Tiga pada Rabu.
Tipo memulakan pencarian kanak-kanak hilang di Kampung Aira Kuala Tiga pada Rabu.
A
A
A

TANAH MERAH - Dua anjing pengesan (K9) Tipo dan Eros membantu pencarian Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, 19 bulan yang hilang di Kampung Aira Kuala Tiga dalam kejadian Maghrib Isnin lalu.

Tipo berusia sembilan tahun merupakan baka Belgian Shepherd manakala Eros daripada baka Labrado berusia tujuh tahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, kedua-dua anjing jantan itu tiba di negeri ini kira-kira jam 6.30 petang Selasa dan memulakan pencarian pagi Rabu.

"Pencarian dimulakan dengan Tipo dan mengambil masa dalam tempoh satu atau dua jam sebelum digantikan dengan Eros," katanya kepada pemberita ketika meninjau operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.

Beliau memberitahu, lebih 60 anggota operasi termasuk pegawai dan anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam berada di lokasi untuk meneruskan pencarian hari ketiga.

Jelas beliau, seramai 35 penduduk turut membantu dalam pencarian sehingga ke kawasan sungai dan hutan berdekatan kawasan kampung itu.

Katanya lagi, operasi pencarian turut memfokuskan di muara Sungai Kelantan.

"Bagaimanapun jelas beliau, pencarian agak sukar kerana keadaan hujan dan kawasan berbukit," katanya.

Sehingga kini katanya, masih tidak ada petunjuk baharu namun berharap ada perkembangan positif dan Hud Aryan segera ditemukan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini media melaporkan keluasan pencarian hari ketiga menjangkau tiga kilometer dan memberi fokus di sungai dan darat membabitkan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Mohd Haki Hasbullah berkata, selain khidmat anjing, anggota operasi dua lagi kaedah yang digunakan ialah pencarian bermula dari rumah mangsa sehingga tiga kilometer ke hutan dan menyusuri sungai dalam skala sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!