Takaful Malaysia catat keputusan kewangan kukuh bagi tahun 2024

SHAH ALAM - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) mencatatkan keputusan kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Kumpulan itu merekodkan keuntungan selepas zakat dan cukai sebanyak RM378.1 juta telah melonjak sebanyak sembilan peratus berbanding RM347.1 juta pada tahun 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, peningkatan keuntungan kumpulan itu didorong oleh kenaikan dalam perkhidmatan takaful.

Menurutnya, pendapatan pada tahun kewangan dalam tinjauan meningkat sebanyak 22 peratus kepada RM3.58 bilion berbanding RM2.94 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
“Perniagaan takaful keluarga kami mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.99 bilion pada tahun 2024, meningkat sebanyak 28 peratus daripada RM1.55 bilion pada 2023. Peningkatan ini didorong oleh pendapatan yang lebih tinggi dalam perkhidmatan takaful.
“Perkhidmatan takaful am kami pula mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.46 bilion untuk tahun kewangan dalam tinjauan, meningkat sebanyak 14 peratus lebih tinggi berbanding RM1.28 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan pendapatan perniagaan takaful am kami disokong oleh jumlah sumbangan yang lebih tinggi daripada kelas perniagaan kebakaran dan motor,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, menurut Nor Azman, jumlah caruman dan sumbangan yang lebih tinggi daripada perniagaan takaful keluarga, takaful am serta peningkatan dalam perlindungan bagi kedua-dua perniagaan menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan.
Tambahnya, selain perkhidmatan, platform dan jenama digital Takaful Malaysia seperti Kaotim, yang menawarkan rangkaian perlindungan komprehensif, berpatutan serta mudah diakses, telah memberikan hasil positif.
Jelas beliau, sejajar permintaan yang semakin berkembang, mereka terus memperluaskan kedudukan dalam pasaran runcit dengan menumpukan penyelesaian perlindungan komprehensif dan berpatutan kepada rakyat Malaysia.
“Kami mencatat prestasi yang membanggakan pada 2024 melalui portfolio perniagaan teras kami dalam bankatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan takaful am.
“Menyedari kepentingan perlindungan mampu milik dan pengukuhan kewangan pelanggan, kami komited untuk menawarkan produk dan perlindungan yang memenuhi keperluan mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Nor Azman berkata, selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Takaful Malaysia secara aktif melaksanakan pelbagai inisiatif kemampanan korporat pada tahun 2024.
Inisiatif itu termasuk pengurusan risiko iklim, amalan penjagaan alam sekitar, pelaburan yang bertanggungjawab dan program pemerkasaan komuniti.
Ulasnya, Takaful Malaysia turut memperkenalkan program Takaful 100 Youth Leadership yang mengetengahkan aspirasi dan peranan penting syarikat dalami memastikan kelangsungan kepimpinan masa hadapan negara.
Tambah beliau, inisiatif itu mencerminkan tumpuan strategik terhadap pemeliharaan alam sekitar, kesan sosial yang positif dan amalan tadbir urus.
“Hala tuju strategik kami adalah untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan dan memacu pertumbuhan jangka panjang serta melengkapkan perniagaan teras kami, sekali gus memberikan pulangan yang lebih maksimum kepada pemegang kepentingan kami.
“Menjadi keutamaan kami untuk memacu agenda transformasi digital, dengan penekanan khusus pada pelaburan dalam teknologi dan inovasi bagi meningkatkan kecekapan operasi, pengalaman pelanggan serta mengekalkan daya saing dalam industri.
“Kami berhasrat membina legasi yang kukuh dan berdaya tahan untuk generasi akan datang, serta memastikan Takaful Malaysia kekal sebagai institusi kewangan Islam yang dipercayai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
