Mesin meletup: JKKP keluar dua notis larangan kerja

TANGKAK - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor mengeluarkan dua notis larangan berkaitan aktiviti kerja susulan letupan mesin di sebuah kilang memproses getah di sini pada Isnin.
Pengarah JKKP Johor, Jaafar Leman berkata, keseluruhan kawasan lokasi kemalangan turut diarahkan ditutup sehingga siasatan selesai dilakukan.
"Hasil daripada siasatan awal mendapati sebelum kemalangan terdapat aktiviti kerja penukaran bowl pada mesin centrifugation di kilang tersebut oleh dua orang pekerja kontraktor yang dilantik oleh pihak kilang.
"Setelah kerja-kerja penukaran bowl pada mesin selesai dijalankan, pekerja kontraktor tersebut telah memasang semula penutup pada mesin itu dan pengujian dijalankan.
"Bagaimanapun selepas lebih kurang 25 minit pengujian dijalankan, mesin dan bowl telah pecah menyebabkan pelbagai serpihan pada mesin, ’disc’ dan bowl berterbangan ke kawasan sekitar mesin," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam kejadian itu, dua pekerja meninggal dunia di hospital ketika mendapatkan rawatan manakala tujuh pekerja kilang yang berada di sekitar kawasan kejadian turut cedera.
Setakat ini, dua lagi mangsa masih menerima rawatan di hospital manakala selebihnya telah dibenarkan pulang.
Dalam pada itu, JKKP memaklumkan tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 terhadap majikan yang cuai.
Sehubungan itu, majikan diingatkan supaya lebih cakna terhadap aspek keselamatan dengan menjalankan penaksiran risiko serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

