AKE, MARA jalin kerjasama lahirkan usahawan

PUCHONG - Pusat pendidikan, Al Kauthar Eduqids Sdn Bhd (AKE) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjalinkan kerjasama strategik menerusi Program Pembangunan Intelektual dan Intervensi Awal Kanak-Kanak (PiNTAR) bagi meningkatkan penyertaan usahawan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Inisiatif yang julung kali diadakan itu menyediakan manfaat latihan keusahawanan, sokongan pembiayaan modal, khidmat perundingan dan juga pemantauan prestasi secara berkala daripada kedua-dua belah pihak sepanjang proses menjalankan perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif AKE, Datuk Dr Bakhtiar Aliff berkata, keputusan MARA untuk menjadi rakan kolaborasi menunjukkan kepercayaan agensi tersebut terhadap prestasi dan kepakaran AKE dalam industri pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau turut menzahirkan penghargaan pada MARA kerana memilih AKE untuk bersama-sama dalam usaha memperkasakan usahawan sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk meneroka potensi bidang perniagaan berkenaan.
"Kami yakin MARA tidak memilih rakan strategik sebarangan, pastinya mereka mempunyai garis panduan dan saringan awal yang perlu dibuat sebelum membuat keputusan.
"Ini kerana MARA merupakan satu nama besar. Agensi ini telah 59 tahun, jadi pengalaman dalam dunia keusahawanan membantu usahawan yang ada itu luas.
"Kami berbangga di atas pengiktirafan yang diberikan oleh MARA, memberi kepercayaan kami untuk menjadi rakan strategik dalam program PiNTAR," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Peluncuran Program Pembangunan Intelektual dan Intervensi Awal Kanak-Kanak (PiNTAR) di sini, pada Selasa.
Keunikan kerjasama di antara AKE dan MARA adalah melalui penyediaan perkhidmatan Program Intervensi Awal (EIP) kepada kanak-kanak yang berkeperluan khas seperti autism, kelewatan bertutur, sindrom down, Global Development Delay (GDD) dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
Pilihan tepat
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata, pihaknya telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta dana pembiayaan bagi pelaksanaan program tersebut dan menyasarkan penyertaan seramai 20 usahawan untuk tahun ini.
"Kita juga telah berbincang dengan AKE mengenai pandangan apa yang diperlukan untuk membangunkan sebuah pusat pendidikan awal dan jagaan kanak-kanak ini.
"Jadi kita telah bersetuju menawarkan skim pembiayaan khas dengan had sehingga RM250,000. Tentulah ia untuk tujuan pembukaan, penyelengaraan dan gaji pekerja," ujarnya.

Menurut Zulfikri, pemilihan AKE sebagai rakan strategik merupakan pilihan tepat kerana reputasi pusat pendidikan tersebut yang terkenal dan berpengalaman luas dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak sejak 2013.
Katanya, sehingga kini AKE telah pun memiliki 300 cawangan taska dan tadika di seluruh negara.
Tambah beliau, di awal penyertaan program berkenaan, usahawan terpilih perlu menjalani latihan komprehensif berstruktur seperti yang telah dirangka oleh MARA dan AKE.
"Selepas itu, mereka akan menggunakan imej korporat, modul, pakaian seragam dan pengurusan mengikut keketapan AKE.
"Malah MARA turut memberi galakan kepada lepasan Institusi Pendidikan MARA (IPMa), institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) untuk menceburi perniagaan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak ini," katanya.
Buka peluang pekerjaan kepada graduan
Menurut Zulfikri, program berkenaan juga dapat membuka peluang kepada ribuan graduan yang berminat menimba pengalaman sebagai pekerjaan awal sebelum mereka merancang untuk menjadi usahawan dalam bidang tersebut.
Menurut beliau, setiap tahun MARA melalui Kolej Profesional Mara (KPM) dan GiatMara melahirkan lebih 650 graduan dalam industri pendidikan awal kanak-kanak.
"Ini juga adalah agenda Bumiputera yang dimainkan oleh Mara, kita tidak mahu golongan tersebut hanya menyertai bidang berkenaan melalui bekerja, sebaliknya menjadi usahawan, memiliki perniagaan di negara ini," ulasnya.

Dalam pada itu, salah seorang peserta PiNTAR, Faradila Mohamed Johor, 41 berkata, inisiatif pemerkasaan itu dapat memberi manfaat kepada usahawan bumiputera dalam membantu menyediakan pendidikan terbaik untuk kanak-kanak terutama mereka yang keperluan khas.
Menurut Faradila yang juga Pengasas Tadika Anakanda Genius (Kinderheaven), Kuala Kangsar, Perak berkata, ia kerana pihaknya berdepan dengan cabaran dari segi peningkatan permintaan menjaga kanak-kanak kumpulan tersebut, selain mempunyai kawasan kelas terhad.
"Di Kuala Kangsar, tiada tadika swasta yang menyediakan perkhidmatan bagi kanak-kanak keperluan khas. Anak-anak ini tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya mereka dapat.
"Saya harap dengan peluang yang ada ini, kita dapat membantu kanak-kanak di luar bandar khususnya golongan berkeperluan khas itu untuk dapatkan tempat atau kelas yang terbaik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

