Pekasam Utara bikin terliur

Ikan yang sudah diperam dan sedia untuk dibungkus.
Ikan yang sudah diperam dan sedia untuk dibungkus.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Ikan pekasam terkenal di Utara Semenanjung Malaysia diibaratkan oleh sesetengah penggemar sebagai menu penambah selera.

Hidangan tradisional ini dihasilkan melalui proses pemeraman ikan menggunakan garam, beras goreng yang dihancurkan dan ramuan tambahan memberikan rasa masam, masin, dan sedikit bau wangi yang unik.

Aroma yang memikat hati ketika digoreng, ditambah hirisan cili dan bawang serta perahan air limau ketika dihidangkan, boleh membuatkan kecur air liur.

Ikan dibersihkan sehingga tiada kesan darah dan diperap menggunakan garam kasar bagi menghilangkan hanyir dan bau busuk bagi menghasilkan pekasam.
Ikan dibersihkan sehingga tiada kesan darah dan diperap menggunakan garam kasar bagi menghilangkan hanyir dan bau busuk bagi menghasilkan pekasam.

Rostamizi Ahmad, 41, berkata, perusahaan ikan pekasam pada mulanya diusahakan ibunya, Rohani Othman, 73, di Sungai Pial, Tanjung Dawai sejak tahun 1995 sehingga tidak menang tangan, namun produksi 'agak perlahan' selepas kematian bapa pada 2020.

"Ibu ada menurunkan resipi kepada anak-anak untuk meneruskan legasi ikan pekasam, ketika itu, barulah isteri, Hamizah Osman, 40, cuba berjinak-jinak sambil mengusahakan restoran di Kampung Paya Suri, Semeling, Kedah," katanya.

Lain pula bagi Hamizah yang berasal dari Johor kerana tidak pernah menyukai ikan pekasam sehinggalah diperkenalkan oleh suaminya kira-kira lima tahun lalu.

Bagi Hamizah, kali pertama merasai hidangan unik itu membuatkannya terus jatuh cinta sekali gus nekad meneruskan legasi perusahaan 'Pekasam Mak Ngah Rohani' yang sudah memasuki pasaran sejak kira-kira 20 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Hamizah kini meneruskan perusahaan Pekasam Mak Ngah Rohani yang diasaskan ibu mertuanya.
Hamizah kini meneruskan perusahaan Pekasam Mak Ngah Rohani yang diasaskan ibu mertuanya.

Berikutan itu, Hamizah cuba mempelajari cara penghasilan dan selok-belok bagi mendapatkan ikan pekasam yang berkualiti seperti yang diusahakan ibu mertuanya.

Menurut Hamizah, secara lazimnya, pekasam dihasilkan menggunakan ikan air tawar seperti talapia, sepat, puyu, lampam dan tengas.

"Kami menggunakan ikan segar yang perlu dibersihkan sehingga tiada kesan darah, diperap menggunakan garam kasar selama tiga hari dan dibilas, sebelum digaul dengan beras yang dah digoreng dan dihancur bersama ramuannya.

"Seterusnya ikan diperap kembali sehingga tempoh yang sesuai sebelum sedia digoreng dan dijadikan hidangan... bersama nasi panas," katanya.

Dalam penyediaan ikan pekasam, Hamizah amat menitikberatkan kebersihan bagi mengekalkan kualiti serta harumannya.

"Ikan kami hasilkan ini tidak berbau busuk... ada sesetengah bau ikan pekasam agak lain, itu yang kena bersihkan darah betul-betul.

"Penyediaannya kena teliti, 'pantang' jika ada lalat, ia boleh merosakkan kesemua ikan yang diperap dalam tong jika dimasuki lalat dan bertelur," katanya.

Aspek kebersihan, kuantiti garam, ramuan yang digunakan dan penjagaan yang teliti ketika proses perapan amat dititikberatkan bagi mendapatkan hasil pekasam yang memuaskan.

Jelasnya, ikan pekasam yang berkualiti boleh disimpan sehingga lebih 12 bulan.

Tidak dinafikan, jelasnya, ikan pekasam sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan dan tidak hairanlah jika menerima permintaan tinggi setiap kali tibanya Ramadan.

Ikan pekasam yang berkualiti boleh disimpan sehingga lebih 12 bulan.
Ikan pekasam yang berkualiti boleh disimpan sehingga lebih 12 bulan.

Jelas Hamizah, sebanyak kira-kira 500 kilogram ikan diperlukan setiap bulan untuk menghasilkan pekasam dan boleh mencapai dua kali ganda sekiranya masuk bulan puasa.

Setakat ini, produk pekasam yang dihasilkan telah dipasarkan ke beberapa negeri di utara dan berhasrat untuk mengembangkan lagi perusahaan itu agar dapat memenuhi permintaan luar.

"Kami memperoleh bekalan ikan air tawar dari pelbagai negeri, bagaimanapun, ia masih belum mencukupi kerana bekalan sukar diperoleh kerana ada masa-masanya perlu bergantung kepada musim tertentu.

"Jika ada pembekal yang ingin menghantar bekalan ikan, kami terima, dalam masa sama membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat,"katanya.

Ikan pekasam yang siap diperap, dijual dengan harga RM10 satu bekas atau RM30 hingga RM50 sekilogram bergantung kepada jenis ikan yang dihasilkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!