ADUN BN, Pas tandatangan SD sokong kerajaan baharu di Johor

Hasni (dua dari kanan) pada sidang media selepas mesyuarat khas di Pejabat Perhubungan UMNO Johor petang tadi.
Hasni (dua dari kanan) pada sidang media selepas mesyuarat khas di Pejabat Perhubungan UMNO Johor petang tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Pas menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi memberi sokongan terhadap pembentukan kerajaan baharu di Johor.

Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, SD tersebut ditandatangani oleh 14 ADUN UMNO, dua MIC dan seorang daripada Pas hari ini.

Pihaknya turut yakin 11 ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga akan menandatangani akuan bersumpah tersebut, sekali gus membolehkan kerajaan campuran dibentuk di Johor dengan 32 akuan bersumpah tanpa sebarang kerjasama dengan DAP.

"Setakat ini, akuan bersumpah daripada BN dan Pas sudah ada pada saya. Bersatu sedang buat akuan bersumpah dan lima lagi daripada PKR dan Amanah sedang diusahakan.

"Ya, saya yakin berdasarkan perkembangan di peringkat Pusat akan dapat semua akuan bersumpah itu.

"Saya telah gambarkan bahawa hasrat dan harapan terhadap gabungan ini perlu bermula dengan membentuk kerajaan negeri," katanya pada mesyuarat khas di Pejabat Perhubungan UMNO Jalan Yahya Awal di sini petang tadi.

Hasni berkata, beliau akan memohon menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selepas SD tersebut selesai ditandatangani oleh semua ADUN terlibat.

Beliau memberitahu, ia akan dibuat dalam masa terdekat selewat-selewatnya Jumaat ini.

Artikel Berkaitan:

"Tidak boleh terlalu lewat untuk bentuk kerajaan negeri. Lepas kerajaan Pusat, kerajaan negeri perlu dibentuk segera," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan campuran perlu dibentuk di Johor