12 jam hujan tak henti-henti

KUALA KRAI – Hujan lebat yang berterusan selama 12 jam menyebabkan penduduk di sekitar Kuala Pertang terkepung susulan laluan utama tidak boleh dilalui kerana dinaiki air.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kuala Pertang, Adnan Mat Yassin berkata, paras air naik mendadak hingga mencecah 1.5 meter di beberapa kawasan termasuk Kampung Sungai Satan, Tanjung Kala dan Kampung Mial selepas hujan lebat sejak sejak jam 11 malam Isnin dan berterusan sehingga 11 pagi Selasa.

“Jalan utama dari Jalan Keroh ke Kuala Pertang juga tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Adnan, jambatan di Tanjung Kala yang menghubungkan Kampung Sungai Satan ke Kampung Mial turut ditenggelami air, sekali gus menyukarkan penduduk untuk keluar mendapatkan keperluan asas.

“Keadaan ini menyebabkan kira-kira 2,000 penduduk dari enam kampung di Kuala Pertang terjejas.
“Mereka kini bergantung kepada perahu untuk bergerak,” katanya.
Beliau berkata, buat masa ini, penduduk dinasihatkan agar tidak mengambil risiko melalui jalan terbabit.
“Kami berharap cuaca terus baik supaya air cepat surut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

