X

Kindly register in order to view this article
!

Tun M akan teruskan pakej rangsangan ekonomi: Guan Eng

Lim Guan Eng
A
A

SHAH ALAM - Rancangan rangsangan ekonomi digubal kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berkemungkinan akan diteruskan selepas isu itu dibincangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika bertemu Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Guan Eng berkata, pelan rangsangan ekonomi itu dimuktamadkan Ahad lalu, namun tidak dapat membentangkannya kerana Dr Mahathir secara tiba-tiba meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada hari berikutnya.

“Antara perkara yang dibincangkan termasuklah pakej rangsangan ekonomi untuk mengatasi kesan buruk akibat wabak koronavirus (Covid-19) yang sebelum ini dijadual untuk diumumkan Dr Mahathir pada 27 Februari ini.

“Dr Mahathir menyatakan bahawa pakej rangsangan ekonomi tersebut akan diumumkannya pada suatu tarikh yang akan ditentukan kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal Februari lalu, Guan Eng berkata, pakej rangsangan ekonomi akan diumumkan pada 27 Februari ini dalam usaha kerajaan mengurangkan impak ekonomi luaran berikutan penularan Covid-19.

Katanya, pakej rangsangan itu bukan belanjawan baharu atau sebahagian daripada dasar Belanjawan 2020, sebaliknya bantuan disalurkan kepada sektor yang terkesan.

Bagaimanapun, penjajaran semula politik yang mengakibatkan keruntuhan kerajaan PH, kelmarin memburukkan lagi keadaan ekonomi negara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus