Netanyahu ugut kembali berperang di Gaza

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Ahad mengancam mahu melancarkan semula perang ke atas Genting Gaza dan pelan jahat itu turut disokong sekutunya, Amerika Syarikat (AS).
"Ia akan bermula pada bila-bila masa untuk mencapai objektif perang sama ada melalui rundingan atau dengan cara lain," katanya dengan angkuh, sehari selepas pemimpin 'ekstremis' itu menangguhkan pembebasan tahanan Palestin di bawah perjanjian pertukaran ketujuh.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan juga telah meningkatkan kesediaan operasi di sekitar Gaza untuk kembali berperang.
Perjanjian gencatan senjata rapuh yang berkuat kuasa pada 19 Januari lalu telah menghentikan perang genosid selama lebih 15 bulan di Gaza.
Fasa pertama tempoh bertenang itu bakal tamat pada awal bulan depan, namun rundingan baharu yang bertujuan untuk menamatkan peperangan tersebut secara kekal masih belum bermula.
Rejim Tel Aviv melanggar kandungan perjanjian gencatan senjata itu apabila ia gagal membebaskan lebih 600 tahanan Palestin pada Sabtu lalu selepas enam tawanan dilepaskan oleh Hamas.
Netanyahu memberi alasan pembebasan itu akan ditangguhkan sehingga Hamas menghentikan upacara pembebasan termasuk menampilkan tawanan di pentas acara dan diberi peluang untuk berucap sebelum diserahkan kepada wakil Persatuan Palang Merah.
Pegawai kanan Hamas, Bassem Naim menyifatkan pelanggaran dibuat Israel ternyata mengancam keseluruhan perjanjian gencatan senjata tersebut. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

