Bomba selamatkan budak perempuan terkunci dalam MPV

MERSING - Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang terkunci dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anjung Batu pagi tadi.
Komander Operasi BBP Mersing, Penguasa Bomba Kanan 2, Mohamed Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 9:35 pagi.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu kenderaan utiliti dengan sembilan anggota bomba dihantar ke lokasi.
"Sebaik tiba, didapati kanak-kanak terbabit terperangkap dalam sebuah kenderaan jenis Proton Exora yang secara tidak sengaja terkunci.
"Sembilan anggota bomba kemudiannya bertindak pantas menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu kenderaan berkenaan.
"Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat pada jam 9:50 pagi sebelum diserahkan kepada keluarganya," katanya.
Kejadian ini menjadi peringatan kepada ibu bapa agar lebih berhati-hati bagi mengelakkan insiden seumpama ini tidak berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

