Rumah musnah terbakar menjelang Ramadan

JERANTUT - [DIKEMAS KINI] Hasrat tiga beranak di Felda Sungai Retang untuk menyambut Ramadan dengan penuh ketenangan bertukar menjadi detik pilu apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran pada 17 Februari lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, rumah yang didiami Amir Ali, 51 bersama isterinya, Rohaya Roselan, 46 dan anak mereka, Nor Amelia Qalesyah,12, serta sebuah kereta Proton Wira Aeroback musnah dan menyebabkan keluarga itu tinggal sehelai sepinggang.
Rohaya memberitahu, ketika kejadian, dia hanya tinggal berdua bersama anaknya manakala suaminya yang juga pekerja kilang kayu berada di asrama pekerja di Mentakab.
"Api bermula dari bilik anak dan ia merebak dalam beberapa minit sahaja dan ketika itu saya berada di ruang tamu sedang meletakkan ubat mata kerana komplikasi kencing manis.
"Saya terus selamatkan anak yang juga mengalami masalah pembelajaran dan dokumen penting sebelum berjaya menyelamatkan diri," katanya turut mengalami luka ringan di bahagian tangan akibat kejadian terbabit.

Pada Ahad keluarga berkenaan ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Gabungan Masjid Felda Wilayah Jengka, Razak Daud yang turut menyampaikan sumbangan gabungan masjid.
Hadir sama, Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Gabungan Wilayah Jengka, Zariah Haron dan Pengerusi Masjid Felda Sungai Retang, Wan Zahari Wan Ibrahim.
Dalam pada itu, Amir memberitahu, dia reda dengan ujian yang dihadapi mereka menjelang Ramadan dan bersyukur kerana isteri dan anaknya selamat dalam kejadian tersebut.
"Memang persiapan untuk Ramadan ini tidak dapat dibuat apa-apa kerana semuanya sudah musnah dijilat api," jelasnya.
Ujarnya, mereka telah menduduki rumah milik keluarga itu sejak beberapa tahun lalu dan kini menumpang sementara waktu di rumah mentua berhampiran.

Menurutnya, kerugian dihadapi kira-kira RM50,000 termasuk kereta yang menjadi pengangkutan utama keluarga.
"Kebetulan hari kejadian, saya bawa motosikal dan tinggalkan kereta di rumah," katanya punca kejadian disebabkan litar pintas.
Sementara itu, Razak memberitahu, sumbangan tersebut antara salah satu tanggungjawab sosial gabungan masjid terhadap penduduk di Wilayah Jengka yang berdepan musibah seperti kebakaran, ribut serta banjir.
"Kita berharap sumbangan tidak seberapa ini dapat meringankan beban mereka (mangsa)," ujarnya terdapat 37 masjid di bawah gabungan terbabit.
Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga ini boleh sumbangan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN),0610529000209443 atas nama Rohaya Roselan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

