‘Kami mahu Tun jadi PM, bukan sekadar PM Interim’

Laporan Sinar Harian hari ini apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan tugasnya di pejabat sebagai Perdana Menteri Interim.
Laporan Sinar Harian hari ini apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan tugasnya di pejabat sebagai Perdana Menteri Interim.
A
A
A

BERILAH seribu orang pun, namun tiada siapa yang mampu menandingi kredibiliti dan kemampuan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mengurus negara yang mempunyai pelbagai fahaman politik, budaya dan latar belakang kaum.

Barisan kepimpinan Bersatu Putrajaya sebulat suara menyokong dan mahu Tun Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia dan bukan hanya setakat Perdana Menteri Interim.

Kami melihat kemampuan Tun dari pelbagai sudut dan buat masa ini, pengalaman serta kecekapan Tun dalam mengurus negara belum dapat ditandingi oleh sesiapa pun, jadi kami merayu agar Tun dapat meneruskan khidmat beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Bersatu Putrajaya akan kekal teguh di belakang Tun walau dalam apa juga situasi.

Kami yakin kepimpinan Tun yang luar biasa mampu meletakkan semula tadbir urus negara di landasan yang terbaik.

Walaupun sebelum ini ada desakan mahu Tun berundur tetapi sekarang ramai yang ibarat baru tersedar dari tidur.

Berikan nama siapa yang setanding dan sehebat Tun?

Kita belum ada lagi pemimpin seperti Tun. Segala sifir politik dalam genggaman beliau. Pengalaman beliau sejak 1981 hingga 2003 sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-4 telah menghasilkan terlalu banyak manfaat buat negara ini dan rakyatnya

Artikel Berkaitan:

Dari sekecil-kecil krisis kepimpinan hinggalah kepada krisis kewangan yang paling teruk melanda dunia di mana Malaysia merasainya tempiasnya, juga berjaya ditangani oleh Tun.

Hampir semua kementerian telah beliau terajui. Jadi kita semua kena tarik nafas dalam-dalam, bersihkan hati, tanya dalam diri mahukah kita jika orang lain menggantikan Tun sekali lagi?

Erwan
Erwan

Kita kena belajar dari kesilapan apabila jawatan nombor 1 jatuh ke tangan orang yang tidak kompeten.

Jangan memperjudikan lagi nasib dan masa depan negara. Beri sedikit lagi masa untuk Tun membalik pulih Malaysia.

Terlalu banyak kerosakan luar dan dalam yang telah terjadi. Pemimpin yang rakus dan korup tidak boleh ada tempat di Putrajaya!

Kita juga harus melihat Wawasan Kemakmuran Bersama yang dicetuskan oleh Tun tahun lalu.

Wawasan itu pastinya menjadi penanda aras yang Tun sudah letakkan untuk diri beliau sendiri malah keseluruhan anggota kabinet yang dipimpinnya.

Kita menyambut dengan penuh keyakinan dan harapan yang tinggi agar WKB itu dapat diterjemahkan dengan rasa cinta dan kasih agar segala kemakmuran ekonomi dan apa sahaja yang kita kecapi dikongsi secara adil oleh semua. Jadi di mana kepincangan pimpinan beliau?

Kami kepimpinan Bersatu Putrajaya malah seluruh negara mahu Tun terus diberi mandat untuk menerajui Malaysia yang kita sayangi.

Walaupun senario politik masa kini agak mendukacitakan, namun Tun Mahathir sudah mempunyai perancangan yang terbaik untuk memastikan Malaysia kembali stabil dan kita dapat fokus kepada usaha membangun serta mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.

Rakyat juga tidak mahu menanggung risiko yang amat tinggi dengan mengizinkan jawatan nombor 1 negara beralih ke tangan orang lain.

Tun mampu menerajui Malaysia. Dari aspek ekonomi, kewangan, kedaulatan, hubungan luar, perpaduan hingga ke perkara yang sekecil-kecilnya, Tun adalah mahagurunya. Jadi kami menyokong agar 'mahaguru' ini terus menerajui Malaysia dengan penuh kecemerlangan.

*Datuk Seri Erwan Tahir ialah Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya