PGA rampas pelbagai jenis anak pokok seludup bernilai RM2 juta

PGA Pengkalan Chepa merampas pelbagai jenis anak pokok seludup seperti durian duri hitam, laici, longan, durian belanda dan petai bernilai RM2 juta di dua lokasi berasingan di Rantau Panjang pada Isnin. - Foto PGA
PGA Pengkalan Chepa merampas pelbagai jenis anak pokok seludup seperti durian duri hitam, laici, longan, durian belanda dan petai bernilai RM2 juta di dua lokasi berasingan di Rantau Panjang pada Isnin. - Foto PGA
A
A
A

RANTAU PANJANG - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa merampas pelbagai jenis anak pokok seludup seperti durian duri hitam, laici, longan, durian belanda dan petai bernilai RM2 juta di dua lokasi berasingan di sini pada Isnin.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan pertama kira-kira jam 10 pagi dilakukan semasa penugasan Op Taring Wawasan selepas anggota bertugas mengesan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan ditahan di Kampung Kerdap di sini.

"Hasil pemeriksaan telah menemukan lebih 15,000 anak pokok durian belanda dan petai (400) bernilai RM912,000 dipercayai diseludup dari Thailand.

"Tanaman ini disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit. Susulan itu seorang lelaki berusia 41 tahun yang merupakan pemandu lori berkenaan telah ditahan," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menurut beliau, rampasan kedua dilakukan kira-kira jam 10.20 malam di Kampung Parit Air di sini selepas menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan oleh seorang lelaki berusia 36 tahun.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih 1,000 anak pokok durian duri hitam, laici (8,000) dan longan (5,500) dipercayai diseludup dari Thailand dan disyaki mempunyai serangga perosak serta penyakit.

Nik Ros Azhan memberitahu, anggaran nilai rampasan tersebut bernilai RM1.12 juta dan kedua-dua kes tersebut disiasat bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.

"Kesemua suspek dan barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!