Kurangkan tempoh presiden Hoki Malaysia

Azhar (berdiri, tengah) memegang piala dan bergambar bersama pengurus dan pasukan hoki Perak bawah 14 dan 16 tahun.
Azhar (berdiri, tengah) memegang piala dan bergambar bersama pengurus dan pasukan hoki Perak bawah 14 dan 16 tahun.
A
A
A

IPOH - Persatuan Hoki Perak mencadangkan tempoh jawatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia dipendekkan daripada empat tahun kepada tiga tahun.

Presiden Persatuan Hoki Perak, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata tempoh empat tahun yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Konfederasi Hoki Malaysia dilihat tidak relevan serta terlalu lama.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyentuh beberapa perkara dalam Perlembagaan Konfederasi Hoki Malaysia yang dipinda pada 23 Mac 2015 dan diluluskan Pesuruhjaya Sukan pada 5 Mei 2015.

“Dalam fasal 1 menyatakan bahawa presiden seharusnya dipilih kongres bagi tempoh empat tahun dan adalah dicadangkan supaya ia dikurangkan kepada tiga tahun,” katanya pada sidang media selepas majlis meraikan pasukan hoki Perak bawah umur 14 dan 16 tahun, Piala Razak dan Veteran di sini, hari ini.

Menurutnya, tempoh empat tahun yang diperuntukkan terlalu lama kerana kebanyakan persatuan sukan kebangsaan lain menetapkan tempoh jawatan presiden bagi satu penggal antara dua hingga tiga tahun.

“Kami juga ingin mencadangkan dua lagi perkara kepada Konfederasi Hoki Malaysia iaitu individu yang dilantik menjadi Presiden Konfederasi Hoki Malaysia tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan sukan kebangsaan yang lain.

“Kalau dia pegang banyak jawatan macam mana nak fokus pada persatuan dan juga sukan negara untuk bawa kejayaan. Begitu juga kalau dia pegang lama jawatan presiden dia tidak memberi komitmen sepenuhnya dan kami tidak mahu persatuan yang statik sebaliknya lebih dinamik,” katanya.

Azhar berkata, cadangan ketiga adalah supaya Konfederasi Hoki Malaysia mengembalikan semula kuasa keputusan mesyuarat kepada jawatankuasa hoki kebangsaan dan bukannya kepada lembaga eksekutif yang dilantik presiden.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang ini presiden melantik lembaga eksekutif dan mereka membuat keputusan lalu memaklumkannya hingga kita akur sahaja dengan keputusan itu. Kalau begitu apa gunanya ada pertandingan jawatankuasa kalau keputusan dilakukan lembaga eksekutif.

“Ia tidak efektif dan saya cadangkan supaya hak ini dikembalikan semula seperti dahulu,” katanya.

Sementara itu Azhar turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pengurus dan pasukan hoki Perak yang berjaya menjadi johan dalam semua kejohanan yang dianjurkan Konfederasi Hoki Malaysia bagi tahun 2018 melibatkan bawah 14 tahun dan 16 tahun lelaki, Piala Tun Abdul Razak Edisi ke-56 dan Veteran.

“Sebagai penghargaan kepada pemenang Persatuan Hoki Perak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak telah menyampaikan saguhati RM100 kepada pemain bawah umur 14 dan 16 tahun,” katanya.