Serangan pengganas: Seorang maut, dua anggota polis ditikam

Anggota polis perbandaran Perancis mengumpul bukti di dataran pasar Mulhouse selepas kejadian tikaman. Foto AP
Anggota polis perbandaran Perancis mengumpul bukti di dataran pasar Mulhouse selepas kejadian tikaman. Foto AP
A
A
A

MULHOUSE,PERANCIS – Seorang individu maut manakala dua anggota polis mengalami kecederaan serius selepas ditikam di bahagian leher dalam satu serangan di dataran pasar Mulhouse, timur Perancis, pada Sabtu.

Dalam kejadian yang mencetuskan panik di tengah bandar bersejarah itu, seorang lelaki bersenjata pisau menyerang seorang pembeli sebelum menikam beberapa anggota polis yang berada di lokasi.

Mangsa yang cuba campur tangan maut selepas ditikam beberapa kali.

Menurut pihak berkuasa, suspek berusia 37 tahun berasal dari Algeria itu dikenali oleh polis dan tersenarai dalam senarai pemantauan keganasan dan radikalisasi (FSRT).

Pendakwa raya, Nicolas Heitz, mengesahkan dua anggota polis perbandaran mengalami kecederaan serius akibat tikaman di leher dan tekak, manakala tiga lagi individu turut mengalami kecederaan ringan dalam serangan tersebut.

Presiden Emmanuel Macron mengesahkan insiden itu sebagai serangan pengganas Islamis dan menegaskan usaha membanteras keganasan di Perancis akan terus diperhebatkan.

Rakaman di lokasi kejadian menunjukkan suspek berjaya ditahan pihak polis selepas dia rebah di tanah.

Sementara itu, Datuk Bandar Mulhouse, Michele Lutz, berkata, motif sebenar serangan masih dalam siasatan, namun insiden tersebut diklasifikasikan sebagai serangan pengganas.

BBC News melaporkan bahawa suspek turut berada di bawah arahan pengusiran dari Perancis.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, senarai pemantauan keganasan dan radikalisasi di Perancis mula diperkenalkan pada 2015 selepas serangan ke atas pejabat majalah Charlie Hebdo dan sebuah pasar raya Yahudi di negara itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!