Projek insinerator WTE Melaka bermula Jun ini

MELAKA - Projek pembinaan Loji Sisa ke Tenaga (WTE) atau insinerator di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang yang dijangka bermula pada Jun depan akan mampu memanjangkan hayat tapak pelupusan sampah di negeri ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan lklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, kerja-kerja yang akan bermula dalam tempoh tiga bulan itu telah dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Datuk Dr Mohd Azhar Abd Hamid dalam pertemuan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh baru-baru ini.
Menurutnya, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus membantu untuk merealisasikan projek yang tertangguh sebelum ini bagi memastikan masalah tapak pelupusan sampah semakin kronik dapat diatasi segera.
"Akan ada progres yang besar kerana sekarang ini saya difahamkan hanya di peringkat kementerian ada sedikit kerenah-kerenah birokrasi di sana.
“Tahun ini kita akan ada progres sebab bajet semua telah ada malah dah award (beri) kepada syarikat dan kita hanya menunggu untuk memastikan insinerator ini dapat dilaksanakan sesegera mungkin,” katanya.
Rais berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Anda Kitar, Kami Bayar Perdana 100 tan kilogram Kitar Semula Komuniti Lestari di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Ayer Keroh di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, WTE ini merupakan projek di peringkat Persekutuan dan Melaka tertakluk di bawah Akta 672.
Ujarnya, namun selagi projek itu tidak bermula ia akan memberi kebimbangan lebih-lebih lagi tapak pelupusan sampah sedia ada hanya mampu menampung kapasiti sampah sehingga Mac tahun depan.
"Apa yang dibimbangi lagi Kelewatan WTE akan menyebabkan lebih banyak tapak dan kawasan sampah haram.
"Malah penduduk melaka yang hampir sejuta penduduknya menghasilkan 1,050 tan sisa sampah sebulan," katanya.
Pada program itu sebanyak 19.690 kilogram bahan kitar semula berjaya dikumpul dalam tempoh kira-kira empat jam penganjurannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

