164,000 kelapa tua penuhi keperluan Ramadan, Aidilfitri

PUTRAJAYA - Sebanyak 164,000 kelapa tua dibawa masuk masing-masing dari Sabah dan Kepulauan Palembang bagi memenuhi keperluan di pasaran pada Ramadan dan Aidilfitri.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, jumlah tersebut merangkumi 496 tan metrik kelapa tua dikupas pada Februari ini melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
"FAMA juga sedang agresif mengaktifkan pusat pengumpulan di seluruh negara untuk mengutip kelapa-kelapa tua bagi menjamin bekalannya," katanya.
Beliau berkata demikian di sidang akhbar selepas melancarkan Program Semarak Ramadan 1446H Pasar Tani Peringkat Kebangsaan di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Program Semarak Ramadan 1446H Pasar Tani melibatkan penyertaan 262 lokasi di seluruh negara, merangkumi 222 Pasar Tani, 37 pasar tani kekal, dua di Lusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok (MNS).
Ia bertujuan menyediakan akses lebih luas kepada masyarakat untuk mendapatkan barangan keperluan harian bagi menghadapi bulan Ramadan, terutama bahan makanan segar dan produk asas tani, pada harga berpatutan di pelbagai lokasi strategik di seluruh negara.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1985, pasar tani telah berkembang sebagai platform utama bagi pengeluar dan usahawan tani memasarkan hasil mereka secara terus kepada pengguna.
"Dengan lebih 222 lokasi di seluruh Malaysia, pasar tani memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ekosistem pemasaran hasil tani dan memperluaskan akses pengguna terhadap produk pertanian segar dengan harga berpatutan," jelas Isham.
Sempena ulang tahun ke-40 penubuhan pasar tani pada 31 Januari 2025, FAMA terus komited dalam memperluaskan jaringan pasar tani dengan sasaran pembukaan 10 lokasi baharu dan menaik taraf 47 lokasi sedia ada sepanjang tahun.
"KPKM dan FAMA berharap inisiatif seperti Program Semarak Ramadan 1446H Pasar Tani Peringkat Kebangsaan ini dapat membantu meningkatkan pendapatan usahawan tani serta memberikan akses yang lebih luas kepada masyarakat untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan lebih mudah dan berpatutan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

