Hujan renyai iringi pengebumian Mohamad Fahmi

KEPALA BATAS - Hujan renyai mengiringi pengebumian jenazah Allayarham Mohamad Fahmi Hafiz, 10, yang maut akibat tercekik gula-gula kenyal, malam semalam.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Permatang Binjai dekat Penaga, di sini, kira-kira jam 3.20 petang tadi.
Sebelum itu, jenazah Mohamad Fahmi tiba dari Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang kira-kira jam 2 petang kemudian dibawa pulang ke rumah neneknya di Permatang Binjai di sini sebelum dibawa ke masjid selepas solat Jumaat.

Kira-kira 150 jemaah membabitkan ahli keluarga, saudara mara dan rakan sekolah Allahyarham hadir mengiringi jenazah dari rumah neneknya hingga ke masjid.
Turut mengiringi jenazah, bapanya, Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, ibunya, Nuraini Mohamad Isa, adiknya, Nufa Fakhira Mohammad Fakhruddin dan ibu saudara, Siti Farhani Mohamad Fikri.
Media sebelum ini melaporkan seorang murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, meninggal dunia dipercayai tercekik gula-gula kenyal jenis ‘Gummy’ pada 18 Februari lalu.
Pada malam Khamis, Mohamad Fahmi Hafiz yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang menghembuskan nafas terakhirnya pada jam kira-kira 11 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

