Penjaja, peniaga kecil luar sekolah dipantau

Sidang media oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan pada majlis Amanat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan 2025/2026 yang diadakan pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Sidang media oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan pada majlis Amanat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan 2025/2026 yang diadakan pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Isu penjaja dan peniaga kecil di luar premis sekolah akan dipantau ketat oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menjamin keselamatan murid.

Ia susulan insiden murid tahun empat meninggal dunia akibat tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.

Tegas Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, Garis Panduan Penguatkuasaan Larangan Penjualan Makanan dan Minuman di Luar Pagar Sekolah Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (Edisi Kedua 2021) telah menyatakan bahawa aktiviti penjualan dalam radius 40 meter daripada pagar sekolah adalah tidak dibenarkan.

"Kita di peringkat sekolah ambil maklum dan kita sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan perkara ini dipatuhi," katanya menerusi sidang akhbar selepas menyampaikan amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2025/2026 di sini pada Jumaat.

Ujar beliau, KPM telah mengambil langkah-langkah yang wajar sebelum ini termasuklah memberikan kesedaran kepada murid dan ibu bapa mengenai kepentingan untuk membeli makanan di tempat betul.

"Insya-ALLAH kementerian akan melihat perkara ini sebagai keutamaan untuk pastikan ia tidak akan berulang.

"Malah di kantin sekolah pun tiada makanan yang dijual seperti gula-gula kenyal menyebabkan anak-anak kita tercekik.

"Jadi maknanya dasar KPM jelas ada yang boleh, ada yang tak boleh (dijual), tetapi makanan dijual oleh peniaga di luar pintu pagar itu sebenarnya telah diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai tidak boleh dijual," katanya.

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diarahkan untuk bekerjasama dengan PBT dalam memantau penguatkuasaan terhadap penjaja dan peniaga di luar premis sekolah.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan mengenai keadaan Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin yang kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).

Murid berusia 10 tahun itu dilapor kritikal selepas rebah di kelas ketika mengikuti kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sebuah sekolah kebangsaan di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.

Namun pada malam Khamis, Mohamad Fahmi disahkan meninggal dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!