Australia rasa terancam, kapal perang China lepas tembakan di perairan timur

Kapal Tentera Laut Diraja Australia (HMAS) Arunta (bawah, kiri), berlayar berhampiran kapal milik Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (PLA-N) di Laut Tasman. - AFP
Kapal Tentera Laut Diraja Australia (HMAS) Arunta (bawah, kiri), berlayar berhampiran kapal milik Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (PLA-N) di Laut Tasman. - AFP
A
A
A

SYDNEY – Australia menyuarakan kebimbangan terhadap latihan tembakan hidup atau 'live fire’ yang dijalankan oleh tiga kapal perang China di perairan timurnya, kata Menteri Luar, Penny Wong, pada Jumaat.

Menurut Penny, kebimbangan utama adalah kurangnya ketelusan mengenai latihan ketenteraan tersebut dan beliau akan mengutarakan perkara itu kepada Beijing.

"Kami akan membincangkan perkara ini dengan China," katanya kepada penyiar nasional ABC dari Johannesburg, di mana beliau menghadiri mesyuarat G20.

Latihan tersebut turut mencetuskan amaran daripada agensi keselamatan udara Australia, memaksa beberapa penerbangan komersial mengubah laluan mereka.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, kami telah menasihatkan syarikat penerbangan dengan jadual penerbangan di kawasan terlibat," kata agensi kerajaan Airservices Australia dalam satu kenyataan.

"Kami juga bekerjasama untuk menyelaraskan nasihat kepada pengendali dan juruterbang."

Sementara itu, Jabatan Pertahanan Australia memantau kapal-kapal Tentera Laut China yang terdiri daripada sebuah frigat, kapal penjelajah dan kapal tangki bekalan, sejak ia dikesan di perairan antarabangsa minggu lalu.

Meskipun kapal-kapal tersebut berlayar dalam perairan antarabangsa, pegawai Australia menyifatkan kehadiran mereka sebagai sesuatu yang 'luar biasa'.

Laporan menyebut bahawa kapal-kapal China itu berada dalam lingkungan 150 batu nautika (sekitar 280 kilometer) dari tanah besar Australia awal minggu ini. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!