Dr Mahathir dicadang tubuh kerajaan penyatuan nasional

Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

1. Fakta pertama: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Presiden Parti Pribumi Malaysia (Bersatu), Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Setiausaha Agung DAP secara terbuka mahukan dan menyatakan sokongan untuk Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri.

2. Fakta kedua: Pemimpin-pemimpin Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) secara umumnya mahukan Dr Mahathir kekal di jawatan tersebut.

3. Fakta ketiga: Dari kenyataan-kenyataan itu, kita boleh merumuskan bahawa parti-parti komponen di kedua-dua belah pagar politik mahukan Dr Mahathir menerajui negara untuk sementara waktu sehinggalah sampai masa untuk peralihan kuasa.

4. Fakta keempat: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah bersetuju untuk Dr Mahathir terus berada di jawatan itu. Dalam perlembagaan, tidak ada jawatan interim. Peguam Negara juga sudah menjelaskan Perdana Menteri Interim mempunyai kuasa penuh dan tidak ada tempoh masa.

5. Fakta kelima: Bursa Malaysia kehilangan lebih RM40 bilion semalam. Begitu juga dengan matawang kita menjadi lemah apabila US$1 kini bernilai RM4.22.

6. Fakta keenam: Rakyat semakin meluat dengan pertelingkahan intra- dan inter-parti yang tak berkesudahan.

7. Dalam beberapa tahun sebelum dan selepas pilihanraya ke-14, politikus kita tak habis-habis bercakaran. Sedangkan negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Vietnam semakin meningkat prestasi ekonomi masing-masing.

8. Dengan mengambil kira kesemua fakta-fakta di atas, saya mencadangkan eloklah Dr Mahathir memulakan insiatif penyatuan nasional atau ‘national reconciliation’ dengan membawa semua pihak bersama-sama membangunkan negara.

Artikel Berkaitan:

9. Sebagai langkah permulaan, Dr Mahathir bolehlah membentuk Kabinet yang mewakili semua parti-parti politik utama -- termasuklah dalam kalangan parti-parti pembangkang. Biar semua parti politik diwakili dalam Kabinet.

10. Oleh kerana semua parti-parti politik setuju Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri (lihat nombor 1, 2 dan 3 di atas), sepatutnya mereka menyokong Kabinet penyatuan nasional ini.

Norizan Sharif
Norizan Sharif

11. Dalam perlembagaan, Perdana Menteri boleh melantik mana-mana Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara untuk menjadi anggota Kabinet, tanpa terikat kepada sama ada mereka ‘parti kerajaan’ atau ‘parti pembangkang’.

12. Saya cadang cukuplah 10 anggota Kabinet (lihat artikel saya di laman web Astro Awani, “10 Kementerian Cukuplah” yang disiarkan pada tahun 2013). Tak perlu sampai 20 atau 30 orang menteri.

13. Carilah pemimpin politik muda yang rajin bekerja, tidak ada kontroversi dan tidak terpalit dengan isu integriti. Tak perlu lantik pemimpin kanan parti jadi menteri.

14. Biarkan pemimpin parti uruskan parti, lantik menteri untuk uruskan negara. Elok ada pemisahan antara parti dan kerajaan. Dr Mahathir pun tidak lagi memimpin mana-mana parti politik sekarang.

15. Kabinet ini harus fokus kepada tiga perkara. Pertama, penyatuan nasional. Kedua, pemulihan ekonomi negara. Ketiga, meringankan beban kehidupan rakyat.

16. Apabila ketiga-tiga perkara ini dicapai dan terdapat pemimpin-pemimpin politik lain yang mendapat sokongan penuh rakyat (broad-based support) untuk menerajui negara, lepaskanlah jawatan tersebut kepada beliau – lagi cepat, lagi bagus.

17. Saya fikir itulah mandat yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri Interim.

18. Cukuplah kita berprasangka buruk sesama sendiri. Cukuplah kita melihat politik sebagai satu permainan di mana “the winners take all.”

19. Bak kata Gandi, “the world has enough for everyone’s need, but not enough for everyone’s greed.”

20. Ramai orang mahu melihat negara kita hancur. Usah terperangkap dengan permainan tersebut.

*Norizan Sharif yang lebih dikenali sebagai Nobisha merupakan bekas penganalisis politik