Abang menyusul 'pergi' ikut dua adik, datuk terkorban dalam kebakaran

LABUAN - [DIKEMAS KINI] Seorang lagi mangsa kebakaran rumah teres dua tingkat di Taman Lazenda Villa 2, di sini, dilaporkan meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Labuan pada Khamis.
Shayven Keinth Chonh Shahmioom, 12, disahkan meninggal dunia pada jam 10 pagi Khamis, menjadikan jumlah mangsa yang terkorban seramai empat orang termasuk dua adik dan datuknya.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya baru saja dimaklumkan mengenai mangsa keempat tersebut.
"Info terkini yang diterima, seorang lagi mangsa kanak-kanak lelaki telah disahkan meninggal dunia di hospital pada jam 10 pagi tadi.
"Ini menjadikan mangsa kemalangan jiwa adalah seramai empat orang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Hamizi sebelum itu mengesahkan kebakaran berlaku melibatkan sembilan mangsa di mana tiga daripada disahkan meninggal dunia dan dua lagi dirawat di hospital manakala selebihnya selamat.
"Dalam kejadian itu, seramai lima mangsa termasuk empat kanak-kanak terperangkap dalam rumah.
"Ketika ditemui, empat kanak-kanak tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri di tingkat atas dipercayai terhidu asap tebal. Turut ditemui jasad seorang lelaki dewasa dalam keadaan rentung di bahagian dapur," katanya.
Katanya lagi, kesemua mangsa yang terkorban dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.
"Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Morris Chong Hoon Cheung, 65, ditemui rentung, manakala dua lagi cucunya iaitu Shahwin Kind Chong, 11 dan adik perempuannya, Shayviann Kyrona Ruby, 8, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di lokasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
