Inisiatif sendiri perlu diambil tangani masalah banjir - Sultan Pahang

BENTONG - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua pihak termasuk kerajaan negeri perlu mengambil inisiatif sendiri dalam mengatasi masalah banjir di negeri ini.
Baginda bertitah inisiatif itu termasuklah mendalam dan membesarkan sungai, meninggikan tebing-tebing sungai serta ban di kawasan-kawasan berisiko banjir.
"Selain itu, rumah-rumah yang dibina di tepi sungai juga perlu ditinggikan juga... rumah-rumah biarlah berkaki. Fenomena cuaca sekarang agak berlainan dan keadaan sungai pun berlainan juga. Jadi kita tak boleh nak baca pada masa akan datang,
"Dalam isu banjir di sini, kedudukan kampung yang berjejas berada di kawasan sudut 'corner' Sungai Bentong. Jada saya harap JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dapat kaji untuk selesaikan masalah banjir di sini, mungkin laluan air sungai dapat diluruskan," titah baginda.

Baginda berkata demikian ketika ditemui selepas berkenan berangkat bercemar duli menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia di sini pada Khamis.
Seramai 150 orang mangsa terdiri daripada 49 buah keluarga dari Kampung Karak Setia dan Perumahan Prima Karak ditempatkan di PPS berkenaan sejak Rabu.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar setiap mangsa yang terjejas bersabar dengan ujian ALLAH SWT serta menerimanya dengan hati reda dan ikhlas.
"Saya yakin pihak berkuasa telah melaksanakan tugas dengan baik dan sentiasa ada untuk meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.
"Di Pahang sememangnya kita bersyukur kerana kita mempunyai jentera kerajaan yang sentiasa peka dengan masalah banjir. Daripada pihak saya, istana, Tengku Mahkota, Menteri Besar memang sentiasa bersedia untuk beri bantuan daripada segala aspek.
“Saya anggap ini juga satu rahmat untuk kita kenal pasti kekurangan yang ada di kawasan ini. Antaranya adalah sungai yang ada begitu cetek... tadi kita dengar pegawai daerah cakap untuk tinggikan ban di Sungai Bentong dan akan ada projek tebatan banjir yang difahamkan berjumlah RM300 juta. Ini semua satu rahmat secara tidak langsung,” titah baginda.
Sementara itu, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada semua ketua isi rumah (KIR) yang terjejas dan melawat keadaan Masjid Kampung Karak Setia dan kawasan sekitar kampung yang terjejas dalam bencana berkenaan.
Kesemua mangsa kemudiannya dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas PPS terbabit ditutup bermula jam 2 petang pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

