Cadang penganjur konsert letak papan tanda larangan penggunaan dadah

Hussein (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas antara Mohd Zaini (kanan) yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor menggantikan Sasikala Devi pada Khamis.
Hussein (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas antara Mohd Zaini (kanan) yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor menggantikan Sasikala Devi pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis telah mengajukan cadangan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk memperketatkan syarat penganjuran konsert sebagai langkah mengelak tragedi kematian yang berlaku semasa Pinkfish Countdown 2024.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, cadangan itu telah dikemukakan bulan ini.

Katanya, ini meliputi penggunaan papan tanda atau plakad larangan penggunaan dadah dan sebagainya di konsert.

"Sebelum ini amaran larangan dadah itu ada pada tiket, tapi kita nak mereka (penganjur) letakkan di papan tanda di tempat masuk dan sebagainya.

"Polis juga memberi komitmen pertingkat risikan dalam konsert dari segi cegah penggunaan dadah. Beberapa cadangan ini telah dimajukan kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Khamis.

Majlis itu menyaksikan Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor baharu menggantikan Datuk S Sasikala Devi yang bersara wajib selepas berkhidmat lebih 35 tahun

Menurut Hussein, baru-baru ini pihaknya juga telah memberi taklimat kepada Menteri Kementerian Belia dan Sukan berhubung isu yang berlaku di Pinkfish.

Jelasnya, polis akan mengekang penggunaan dadah di konsert yang dianjurkan.

"Kita bukan hendak menghalang penganjuran konsert tapi mahu memastikan penganjurannya lebih berhemah agar tiada kejadian sedemikian berulang terutama di Selangor," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada 3 Januari lalu melaporkan Polis Selangor mencadangkan keperluan garis panduan baharu dalam sesuatu penganjuran konsert termasuk dari segi bilangan pengunjung mengikut keluasan tempat selain aspek keselamatan dari penjualan dadah serta pengudaraan.

Ini susulan kematian empat termasuk dua wanita berusia 20 hingga 40-an maut disyaki akibat pengambilan dadah ekstasi selepas menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang Jaya.

Laporan patologi mengesahkan punca kematian membabitkan tiga pengunjung di konsert tersebut berpunca daripada pengambilan dadah jenis perangsang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!