Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan dinobat Ikonik Pelancongan Selangor

SHAH ALAM – Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan terus mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi terkemuka apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Ikonik Tourism Selangor 2024 dalam Kategori Pelancongan Alam Semula Jadi, Kembara dan Eko Pelancongan.
Pengiktirafan berprestij ini diberikan kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) atas usaha cemerlang mereka dalam memelihara serta mempromosikan fenomena luar biasa kelip-kelip di Kampung Kuantan, yang menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara.
Menurut MPKS, anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu majlis sempena Showcase Tahun Melawat Selangor 2025.

"Majlis berlangsung di Foyer SUK, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam itu dihadiri Yang Dipertua MPKS, Mohamad Hanafe Basri yang turut menerima anugerah penghormatan itu," ujar pihak berkuasa tempatan itu di laman Facebook.
Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan terletak di Kuala Selangor, dan terkenal dengan fenomena semula jadi yang menakjubkan, di mana ribuan kelip-kelip berkelipan di sepanjang sungai pada waktu malam, mencipta suasana bak bintang bertaburan di bumi.
Pengunjung berpeluang menaiki sampan kecil untuk menyaksikan keindahan ini dari jarak dekat, menjadikannya sebagai satu pengalaman yang menenangkan dan memukau.
"Bagi pencinta alam dan mereka yang ingin menikmati keindahan semula jadi yang unik, lawatan ke Kelip-Kelip Kampung Kuantan pasti menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan," ujar MPKS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

